Jangkitan Coronavirus

Pelajari Tentang Sejarah Wabak Coronavirus, MERS-CoV dan SARS-CoV.

Baca Soalan

Sejarah Wabak Coronavirus

Coronavirus adalah keluarga besar virus yang boleh menjejaskan saluran pernafasan dan menyebabkan gejala-gejala seperti selesema atau jangkitan saluran pernafasan secara Akut. Pada masa lalu, terdapat dua jenis virus yang diketahui umum dan telah menyebabkan wabak utama termasuk Sindrom Pernafasan Timur Tengah atau MERS-CoV dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk atau SARS-CoV. Pada masa ini, sejenis Coronavirus yang baru telah dikenal pasti dan dinamakan sebagai Novel Coronavirus atau 2019-nCoV telah mengejutkan penduduk dunia kerana wabak tersebut yang merebak dengan pantas serta meragut ratusan nyawa. Sehingga 31 Januari 2020, jumlah kematian telah mencapai lebih daripada 200 orang. 

Sindrom Pernafasan Timur Tengah Coronavirus (MERS-CoV)

Pada tahun 2012, MERS-CoV pertama kali dikenal pasti di Arab Saudi. Pesakit yang menghidap virus ini hadir dengan gejala termasuk demam, batuk dan sesak nafas. Terdapat segelintir pesakit yang mengalami gejala seperti cirit-birit walaupun gejala ini sangat jarang terjadi. Terdapat juga kes dimana pesakit tidak memiliki sebarang simptom sama sekali, namun mereka disahkan positif jangkitan MERS-CoV melalui ujian-ujian khas. Cara virus ini tersebar adalah daripada haiwan iaitu unta kepada manusia. Kajian telah membuktikan bahawa meminum susu unta, menyentuh air kencing unta atau memakan daging unta yang tidak begitu masak meningkatkan risiko penyebaran. Virus ini tidak mudah disebarkan sesama manusia melainkan penjaga yang kerap mengendalikan pesakit. Maka, tidak hairanlah penyakit ini lazimnya menjejaskan pekerja dalam bidang kesihatan terutamanya jika pencegahan jangkitan virus ini dan kawalan jangkitan tidak dilaksanakan dengan teliti. Setakat ini, tiada penyebaran selain daripada pekerja dalam bidang kesihatan telah didokumenkan di dunia. Sejak 2012, penyakit tersebut telah membunuh lebih 800 orang dan menjejaskan lebih daripada 2400 orang. Pertubuhan Kesihatan Sedunia, World Health Organisation (WHO) tidak mengenakan sekatan perjalanan ke negara yang terjejas. Walau bagaimanapun, adalah amat penting untuk memastikan kunci pencegahan virus tersebut dilaksanakan dengan teliti serta mengelakkan bersentuhan dengan unta semasa perjalanan ke negara-negara yang terjejas. 

Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk Coronavirus atau SARS-CoV. 

Virus ini pada mulanya dikesan di Guangdong, China pada tahun 2003. Setakat ini, SARS-CoV telah menjejaskan lebih daripada 8000 orang. Asal-usul virus itu tidak dapat dikenal pasti. Namun ia dikatakan mula-mula disebarkan daripada kelawar kepada kucing. Setelah meneliti, cara utama virus ini tersebar ialah daripada manusia kepada manusia melalui cecair pernafasan dan najis. Penyebaran virus secara tidak terkawal juga berlaku dalam sistem kesihatan yang tidak mengamalkan penjagaan kesihatan yang tidak mencukupi dan teliti. Walau bagaimanapun, wabak ini telah berakhir setelah langkah-langkah kebersihan dilaksanakan dengan baik. Sejak tahun 2002, wabak virus ini telah berlaku beberapa kali dan dilaporkan tersebar di Singapura dan Selatan China. Pada masa ini, tiada sekatan perjalanan ke kawasan yang terjejas kerana wabak SARS-CoV telah berakhir dan risiko keseluruhan penyebaran terhadap pelancong amat rendah. Seperti nama panjang virus ini, pesakit akan hadir dengan gejala pernafasan atau simptom seperti influenza iaitu rasa termengah-mengah, batuk dan cirit-birit. Penyakit ini juga boleh merebak dengan pantas dalam badan pesakit sehingga menyebabkan kesukaran bernafas dan berada dibawah pantauan unit rawatan intensif.

Coronavirus Novel atau 2019-nCoV

Kes pertama virus ini telah dikesan di Wuhan, China pada 31 Disember 2019. Pesakit mengalami gejala-gejala seperti selesema atau “flu” dan dikuarantin sementara sumber selesema itu dikenalpasti. Keesokan harinya, lokasi utama virus itu disebarkan telah dikenalpasti iaitu melalui sebuah pasar makanan laut. Sejak hari itu, operasi pasar tersebut telah ditutup. Pelbagai langkah-langkah telah dilakukan bagi mengelakkan wabak ini tersebar melangkaui negara asal dan benua. Ia termasuklah dengan pemeriksaan pelancong asing yang datang dari Wuhan, China di lapangan-lapangan terbang. Pertubuhan Kesihatan Sedunia, World Health Organisation (WHO) juga telah menasihatkan sekatan perjalanan dan perdagangan dengan negara China. Pada 7 Januari, virus yang menyebabkan wabak berbahaya ini telah dikenalpasti iaitu 2019-nCoV kerana pakar telah menolak bahawa virus MERS-CoV dan SARS-CoV menyebabkan wabak tersebut. Dua hari kemudian, kematian pertama akibat coronavirus dilaporkan. Sejak itu, virus itu telah merebak ke banyak negara termasuk Malaysia, Korea Selatan, Singapura dan seluruh benua seperti Perancis dan Jerman. 

Written by: Dr Nur Syuhada Binti Zulkifli

Degree in Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

18 Aug 2018
Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy