Kencing Manis

Penyebab, Gejala Dan Cara Merawat Penyakit Diabetes Jenis 1

Baca Soalan

Apa Itu Kencing Manis

  • Kencing manis secara umumnya dikenali sebagai sebuah keadaan di mana terdapat kandungan gula yang tinggi di dalam badan. Di dalam bahasa perubatan, keadaan ini memberikan maksud diabetes mellitus.
  • Diabetes mellitus adalah sebuah keadaan yang berbeza dengan diabetes insipidus. Jadi, apabila berbincang tentang diabetes, pengamal perubatan akan mengenal pasti sama ada keadaan diabetes yang manakah yang sedang dirujuk oleh pesakit.

Jenis-jenis Kencing Manis

Berikut adalah senarai jenis jenis diabetes di dalam dunia perubatan:

  • Diabetes Mellitus - Jenis 1
    • Kadar gula yang tinggi disebabkan tiada penghasilan insulin bermula sejak lahir.

    • Teori berkenaan serangan ‘auto-imun’ terhadap sel pankreas yang menghasilkan insulin

  • Diabetes Mellitus - Jenis 2
    • Kadar gula yang tinggi di dalam badan berlaku selepas pengambilan kandungan gula di dalam badan tidak terkawal dan kurang melakukan aktiviti yang cergas.
  • Gestational Diabetes
    • Kadar kandungan gula yang tinggi hanya berlaku semasa seseorang ibu itu sedang mengandung. Kadar gula kembali normal setelah proses hamil selesai.
  • Diabetes Insipidus
    • Keadaan di mana pesakit membuang air kecil lebih banyak daripada biasa disebabkan oleh gangguan di dalam kestabilan hormon ADH dan bahagian penerimaan hormon ADH di dalam buah pinggang.
  • Gestational Diabetes Insipidus
    • Keadaan seperti diabetes insipidus tetapi berlaku hanya ketika seseorang wanita itu hamil

Kadar Normal Gula Di Dalam Badan

  • Diabetes Mellitus adalah sebuah keadaan yang merujuk kepada kandungan gula yang tinggi daripada biasa. Kandungan gula di dalam darah boleh diukur dengan menggunakan unit mmol/L ataupun mg/dL. Di Malaysia unit yang biasa digunakan adalah mmol/L.
  • Kandungan gula yang normal di dalam tempoh 2 jam selepas makan adalah berada pada tahap kurang daripada 7.8 mmol/L. Jika bacaan berada pada kiraan 7.8 hingga 11.1 mmol/L, ia dikenali sebagai sebuah keadaan ‘impaired glucose tolerance’. Manakala diabetes pula apabila bacaan berada lebih daripada 11.1 mmol/L.
  • Manakala ketika berpuasa iaitu tanpa makanan dan minuman selama 8 jam pula, kadar kandungan normal gula di dalam badan pula berada pada bacaan kurang daripada 6.1 mmol/L.
  • Apabila bacaan berada di dalam lingkungan 6.1 hingga 7.0 mmol/L ia juga dikenali sebagai ‘impaired glucose tolerance’. Jika bacaan berada pada 7.0 mmol/L pula ianya akan dikategorikan sebagai diabetes mellitus.
  • HBA1c pula adalah sebuah molekul yang menandakan bacaan kadar gula di dalam sel darah merah semenjak 2 hingga 3 bulan ke belakang. 

Kencing Manis Jenis 1

  • Kencing manis jenis 1 ataupun ‘type 1 diabetes mellitus’ merupakan sebuah keadaan di mana pankreas iaitu organ yang bertanggungjawab menghasilkan insulin, menghasilkan terlalu sedikit ataupun tiada insulin langsung dihasilkan di dalam badan sejak lahir.
  • Berbeza dengan pesakit diabetes mellitus jenis 2 yang mana pankreas pesakit tersebut masih menghasilkan insulin tetapi insulin yang dihasilkan tidak cukup ataupun mempunyai rintangan yang digelar ‘insulin-resistant’.
  • Oleh itu, ianya digelar ‘insulin-dependant diabetes’ yang memberikan maksud keadaan ini bergantung kepada insulin yang perlu diberikan dari luar tubuh badan. Insulin diberikan melalui suntikan yang tidak dalam pada lemak yang berada di bawah kulit yang dipanggil suntikan ‘subcutaneous (SC)’.   
  • Pesakit-pesakit diabetes mellitus jenis 1 ini mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit-penyakit seperti:
    • Sakit jantung
    • Stroke
    • Kegagalan buah pinggang
    • Ulser pada kaki
    • Kerosakan pada mata
  • Terdapat juga risiko sekiranya berlakunya hipoglisemia iaitu sebuah keadaan di mana kadar kandungan gula terlalu rendah disebabkan oleh dos insulin yang berlebihan diambil.
  • Ia boleh menyebabkan seseorang itu berasa penat, pucat, gangguan emosi, menggigil dan lain-lain. Jika keadaan ini tidak diuruskan dengan baik, ia boleh meyebabkan koma.
  • Sebanyak 5-10% pesakit yang mengalami diabetes mengalami diabetes jenis 1 ini. 
  • Dalam kalangan kanak-kanak berumur di bawah 20 tahun yang menghidap diabetes mellitus, 71.8% daripadanya mempunyai diagnosis kencing manis jenis 1. 
  • Punca-punca yang boleh menyebabkan keadaan ini berlaku tidak dapat dikenal pasti dengan terperinci. 
  • Bagi pesakit pesakit diabetes mellitus jenis 1, selain daripada terapi harian insulin, aktiviti fizikal juga memainkan peranan yang penting untuk mengelakkan daripada terjadinya masalah penyakit-penyakit kardiovaskular.
  • Pesakit boleh memilih untuk melakukan senaman yang berintesiti tinggi seperti berlari pecut, angkat berat dan lain-lain aktiviti yang memerlukan pergerakan pantas.
  • Pesakit juga boleh memilih untuk melakukan akitviti sukan yang berintensiti rendah atau sederhana seperti berlari jarak jauh, berjoging, berenang, berbasikal dan jalan jarak jauh dalam masa 20 hingga 60 minit bagi setiap aktiviti.
  • Pengurusan makanan yang betul juga amat penting di dalam mengawal kandungan gula yang berada di dalam darah.   
  •  Kadar pemakanan yang seimbang boleh dinisbahkan seperti berikut:
    • Karbohidrat sebanyak 50-55%

    • Lemak sebanyak 25-35%

    • Protein sebanyak 12-20%

  • Kadar pengambilan makanan pula haruslah diselaraskan dengan masa pengambilan insulin supaya ianya seimbang. Tidak terlebih dan tidak terkurang agar tidak memudaratkan pesakit dengan masalah ketidakseimbangan gula di dalam badan.
  • Pesakit haruslah mematuhi jadual pemakanan yang telah ditetapkan dan perlu konsisten di dalam mengambil makanan yang betul secara harian. Makanan berat akan diselangi dengan snek supaya pesakit tidak mengalami masalah hipoglisemia seperti yang telah dibincangkan di atas.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan tentang pengenalan diabetes serta perkara-perkara yang telah dibincangkan, hubungi doktor-doktor kami secara atas talian pada pautan www.DoctorOnCall.com.my sekarang!

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?