Haid Lewat

Haid Lewat - Adakah Disebabkan Hamil?

Baca Soalan

Wanita yang mengalami haid lambat 2 minggu… Apakah mungkin sebabnya? Ramai wanita menghadapi masalah haid dan ini bukanlah sesuatu masalah yang luar biasa. Haid seseorang dikawal oleh hormon-hormon reproduktif dalam tubuh. Namun, hormon-hormon ini senang dipengaruhi dan berubah berdasarkan faktor-faktor berbeza seperti gaya hidup serta tahap kesihatan seseorang individu.

Definisi haid lewat

Tempoh kitaran haid adalah berbeza bagi setiap individu dan kebanyakan wanita akan mengalami tempoh kitaran haid dalam sekitar 21-35 hari. Bagi wanita yang pernah mendapat haid, kebanyakan daripada mereka akan mampu mengenalpasti sekiranya kitaran haid menjadi tidak teratur. Seseorang dianggap mengalami haid yang lewat sekiranya pendarahan haid ditangguhkan berdasarkan anggaran yang dibuat berdasarkan kitaran haidnya yang biasa.

Haid yang lewat juga boleh merujuk kepada kegagalan untuk turun haid pertama yang dialami oleh budak perempuan yang sedang mengalami akil baligh. Secara puratanya, kebanyakan kanak-kanak perempuan akan mendapat haid pertama sekitar umur 10-16 tahun bergantung kepada kadar perkembangan dan kematangan individu tersebut. Seseorang boleh menjangkakan permulaan haid dengan memerhatikan tanda-tanda akil baligh seperti payudara yang mula membesar dan ketumbuhan rambut di kawasan kemaluan. Kira-kira 2 tahun selepas permulaan tanda-tanda ini, haid kemungkinan besar akan bermula. Secara amnya, kanak-kanak perempuan dianggap mengalami haid lewat sekiranya masih belum mendapat haid pertama setelah mencapai umur 16 tahun.

Penyebab haid lewat

Terdapat pelbagai punca bagi haid yang lewat dan mereka adalah berdasarkan tahap kesihatan dan kesuburan, ubat-ubat yang diambil serta gaya hidup seseorang. Walaupun terdapatnya punca yang boleh menjejaskan mana-mana wanita tidak kira umur, terdapat juga punca yang kita akan lebih khuatir berdasarkan umur wanita tersebut.

Contoh-contoh punca remaja lambat datang haid termasuk:

  • Kadar perkembangan dan kematangan lambat yang dikira normal: Ini boleh berlaku terutamanya jika terdapatnya sejarah ahli keluarga wanita seperti ibu atau kakak yang mengalami haid pertama yang tertangguh.

  • Masalah gaya hidup: Remaja wanita yang sedang berkembang sememangnya akan menghadapi pelbagai cabaran dalam hidup dan kadangkalanya stres serta gaya hidup yang dialami boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon sehingga menjejaskan kitaran haid.

    • Tekanan stres

    • Kekurangan berat badan atau kehilangan berat badan secara mendadak: Berat badan yang tidak mencukupi boleh menjejaskan haid seseorang akibat kekurangan kalori yang mencukupi untuk menghasilkan hormon yang diperlukan bagi ovulasi.

    • Senaman yang terlalu banyak: Aktiviti fizikal yang terlampau kuat boleh menjejaskan hormon-hormon reproduktif dan menyebabkan kehilangan lemak badan yang terlalu banyak yang diperlukan untuk menghasilkan hormon-hormon dalam badan.

    • Berat badan yang berlebihan atau obesiti: Tubuh badan yang terlampau berat pula mungkin menghasilkan jumlah hormon estrogen yang berlebihan yang boleh menjejaskan kitaran haid sehingga menyebabkan haid yang lewat.

  • Kehamilan: Sekiranya haid datang lambat selepas bersetubuh, terdapat kemungkinan yang seseorang itu telah jatuh hamil. Ciri-ciri hamil termasuk keletihan, kesakitan payu dara, loya dan muntah serta perut mengembung. Namun, sesetengah wanita tidak akan mengalami sebarang gejala sama sekali.

  • Masalah dengan ovari, rahim atau faraj: Sekiranya fungsi ovari atau kelenjar pituitari di otak tidak berfungsi, maka hormon yang diperlukan dalam badan tidak mencukupi bagi ovulasi berlaku. Kelewatan haid juga boleh terjadi sekiranya selaput dara (hymen) menghalang pembukaan faraj.

  • Bagi budak perempuan yang tidak mengalami haid pertama dan tanda-tanda akil baligh, terdapat kemungkinan juga budak tersebut mempunyai keadaan genetik seperti sindrom fragile X, sindrom Turner, atau sindrom “androgen insensitivity.”

Sebab-sebab lain yang juga boleh menyebabkan haid lambat termasuk:

  • Kontraseptif: Pil kontraseptif, suntikan kontraseptif, pil progestogen dan alat kontraseptif dalam rahim, terutamanya Mirena, berfungsi mencegah kehamilan dengan mengubah keseimbangan tahap hormon yang mengawal kitaran haid wanita.

  • Menopaus: Kitaran haid boleh menjadi lebih lewat dalam tempoh berdekatan menopaus akibat tahap estrogen yang berkurangan. Selepas menopaus, haid akan berhenti sepenuhnya.

  • Hormon prolaktin: Wanita yang menyusu mempunyai haid yang terganggu akibat pelepasan hormon prolactin bagi menghasilkan susu. Hormon ini menghalang pelepasan telur dan menghentikan kitaran haid daripada berlaku. Adakalanya, peningkatan paras prolactin juga boleh diakibatkan ketumbuhan dalam kelenjar pituitari tetapi sebab ini adalah amat luar biasa.

  • Sindrom ovari polisistik (PCOS): Dalam keadaan ini, ovari mengandungi jumlah folikel yang besar. Namun, kantung-kantung folikel ini sering tidak dapat melepaskan telur maka menghalang ovulasi daripada berlaku. Gejala-gejalanya termasuk pertumbuhan rambut yang berlebihan di tempat-tempat yang tidak dijangka seperti muka, jari, dada dan perut, keguguran rambut, kemandulan, berat badan menaik dan jerawat.

  • Penyakit-penyakit lain seperti penyakit jantung, tiroid yang terlalu aktif, kencing manis yang tidak terkawal atau menopaus pramatang juga boleh menyebabkan haid yang lewat.

Cara mengatasi haid lewat

Rawatan bagi masalah haid yang lewat bergantung kepada penyebabnya. Contoh-contoh rawatan termasuk:

  • Ubat untuk datang haid yang mengandungi hormon mungkin disyorkan bagi membetulkan ketidakseimbangan hormon dalam badan.

  • Sekiranya penyebab utamanya adalah masalah berat badan dan gangguan makanan, rawatan sering melibatkan kombinasi terapi, perubahan diet serta kounseling dan nasihat. Kombinasi rawatan ini memastikan bimbingan dan sokongan yang mencukupi diberikah supaya cara pemakanan dan persepsi serta hubungan pesakit dengan makanan bertambah baik.

  • Sekiranya keputusan ujian menunjukkan masalah kesihatan yang menyebabkan kitaran haid lewat, rawatan yang berpatutan akan diberikan.

    • Bagi masalah tahap hormon tiroid yang terlalu tinggi, bergantung kepada penyebab gangguan tahap hormon tersebut, rawatan-rawatannya termasuk ubat anti-tiroid, terapi radioiodin atau pembedahan untuk membuang kelenjar tiroid.

    • Bagi PCOS, pesakit mungkin dinasihatkan untuk mengambil pil kontraseptif yang mengandungi hormon yang dipanggil progesteron dan dinasihati untuk mengurangkan dan mengawal berat badan.

    • Bagi menopaus awal (kegagalan ovari pramatang), ubat hormon biasanya disyorkan. Rawatannya termasuk pil kontraseptif atau terapi penggantian hormon (HRT).

Sebagai langkah berjaga-jaga wanita yang mengalami masalah haid patut mengunjungi doktor bagi pemeriksaan lanjut sekiranya:

  • Anda masih belum mendapatkan haid pertama setelah mencapai umur 16 tahun.

  • Anda tidak mengalami tanda-tanda akil baligh sama sekali setelah mencapai usia 14 tahun.

  • Haid tiba-tiba menjadi tidak teratur apabila anda masih di bawah umur 45 tahun

  • Tempoh kitaran haid adalah kurang daripada 21 hari atau melebihi 35 hari

  • Tempoh pendarahan haid melebihi 7 hari

  • Terdapatnya perbezaan yang besar (sekurang-kurangnya 20 hari) antara tempoh kitaran haid yang paling singkat dan terpanjang

  • Kitaran haid adalah tidak teratur dan wanita mengalami masalah untuk jatuh hamil

  • Ingin menentukan punca masalah haid tak teratur.

Jika perlu, pesakit mungkin akan dirujuk kepada pakar yang tertentu untuk mendapatkan ujian atau rawatan yang lebih lanjut. 

Written by: Dr Sashini Seeni

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?