Pil Perancang Kecemasan

Fungsi, Jenis dan Penggunaan Pil Perancang Kecemasan

Baca Soalan

Pengenalan

Pil perancang merupakan salah satu kaedah pencegah kehamilan yang paling popular di seluruh dunia. Secara amnya, pil perancang boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu pil perancang biasa dan pil perancang kecemasan.

Pil perancang biasa seperti pil Mercilon, pil perancang Yasmin dan pil perancang Marvelon merupakan pil yang diambil setiap hari untuk mencegah kehamilan. Oleh sebab pil perancang biasa harus diambil setiap hari, pil perancang biasa bukan sahaja boleh mencegah kehamilan malah ia boleh digunakan untuk mengurangkan kesakitan haid dan merawat kitaran haid yang tidak teratur.

Pil perancang kecemasan hanya berfungsi untuk mencegah kehamilan sahaja dan ia tidak sesuai digunakan untuk sebarang tujuan lain.

Kegunaan pil perancang kecemasan

Pil perancang kecemasan seperti pil Postinor digunakan selepas hubungan kelamin tanpa perlindungan atau timbulnya masalah dengan kaedah perancang keluarga yang sedang digunakan seperti kebocoran kondom.

Pil ini juga boleh digunakan oleh mangsa serangan seksual untuk mencegah kehamilan yang tidak diingini. Pil perancang kecemasan mengandungi hormon yang berfungsi untuk mencegah ovulasi dan menghalang pesenyawaan dari berlaku. Secara amnya, pil perancang kecemasan tidak akan menyebabkan masalah keguguran.

Jenis pil pencegah kehamilan atau OCP

Secara amnya, pil pencegah kehamilan boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu pil perancang biasa dan pil perancang kecemasan.

  1. Pil perancang biasa
    • Contohnya adalah seperti pil Mercilon, pil perancang Yasmin dan pil perancang Marvelon.
    • Merupakan pil yang harus diambil setiap hari untuk mencegah kehamilan.
    • Pil perancang biasa selalunya mengandungi hormon. Hormon ini akan mencegah ovulasi, menyekat sperma daripada memasuki rahim dan menyekat proses pesenyawaan.
    • Pil perancang biasa adalah sangat berkesan untuk mencegah kehamilan jika digunakan mengikut nasihat yang telah diberikan.
    • Kesan sampingan dari penggunaan pil perancang biasa adalah rendah dan komplikasi-komplikasi serius jarang berlaku.
    • Namun begitu, pil ini boleh menyebabkan tanda-tanda seperti loya, muntah, pening, sakit kepala dan perubahan berat badan pada sesetengah wanita yang menggunakan pil ini. Kesan-kesan ini biasanya akan hilang dalam masa 3 bulan tanpa meninggalkan sebarang kesan negatif yang berpanjangan.
  2. Pil perancang kecemasan
    • Pil yang digunakan selepas menjalin hubungan kelamin tanpa perlindungan.
    • Terdapat 2 jenis pil perancang kecemasan di pasaran sekarang, iaitu pil yang mengandungi hormon progesterone dan pil yang mengandungi bahan ulipristal.
    • Semakin awal seseorang itu mengambil pil perancang kecemasan, semakin berkesanlah pil tersebut.
    • Pil progesterone hanya sesuai digunakan dalam masa 72 jam selepas hubungan seks tanpa perlindungan manakala pil ulipristal sesuai digunakan dalam masa 120 jam selepas hubungan seks tanpa perlindungan.
    • Pil perancang kecemasan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti seperti loya, muntah, pening, sakit kepala dan perubahan pada kitaran haid.

Semua pil perancang termasuk pil perancang keluarga dan pil perancang kecemasan tidak boleh digunakan untuk mencegah jangkitan kelamin seperti HIV dan gonorrhoea. Jangkitan kelamin hanya boleh dicegah dengan menggunakan kondom dan mengamalkan hubungan seks yang selamat.

Cara penggunaan pil perancang kecemasan

  1. Pil perancang kecemasan yang mengandungi hormon progesterone harus diambil dalam masa 72 jam selepas hubungan seks tanpa perlindungan untuk mencegah kehamilan.
    • Pil-pil yang mengandungi hormon progesterone seperti pil Postinor datang dalam bentuk 2 biji pil setiap pek.
    • Pil pertama harus diambil serta merta manakala pil kedua harus diambil 12 jam selepas pil pertama.
    • Ada juga pil jenis hormon progesterone yang datang dalam bentuk satu biji pil sahaja yang harus diambil secepat mungkin selepas hubungan kelamin tanpa perlindungan.
    • Pil yang mengandungi bahan ulipristal harus diambil dalam masa 120 jam selepas hubungan kelamin tanpa perlindungan. Pil tersebut datang dalam bentuk satu pil sahaja.
  2. Jika pil tidak diambil dengan cara yang betul, keberkesanan pil tersebut untuk mencegah kehamilan akan menjadi rendah. Oleh sebab keberkesanan pil perancang kecemasan adalah tidak terjamin, penggunaan pil perancang kecemasan untuk mencegah kehamilan secara rutin adalah tidak digalakkan. Kaedah-kaedah perancang keluarga yang lain adalah lebih berkesan dan mempunyai kesan sampingan yang lebih rendah.
  3. Dianggarkan bahawa 15% daripada wanita yang mengambil pil perancang kecemasan akan mengalami gejala rasa loya manakala 1.5% akan mengalami muntah-muntah. Jika seseorang itu muntah dalam 2 jam selepas mengambil pil tersebut, pil yang baru harus diambil semula secepat mungkin.
  4. Sesetengah wanita yang menggunakan pil perancang kecemasan juga boleh mengalami kesan sampingan seperti payu dara tegang, keletihan dan perdarahan haid yang tidak menentu. Kesan-kesan sampingan ini biasanya adalah bersifat sementara sahaja dan tidak menyebabkan komplikasi-komplikasi yang serius.

Secara amnya, pil perancang kecemasan boleh dibeli dari klinik atau farmasi. Kos ubat ini bergantung pada jenama ubat tersebut. Sebagai contoh, harga pil postinor adalah antara RM 4 hingga RM 6 manakala pil ulipristal dijual pada harga yang lebih mahal. 

Sebelum membeli pil perancang kecemasan, setiap wanita harus memberitahu doktor atau pegawai farmasi sekiranya mereka menghidap penyakit lain atau mengambil ubat-ubatan lain. Hal ini demikian kerana keberkesanan pil perancang kecemasan boleh berkurangan sekiranya pil tersebut diambil bersama dengan ubat-ubatan lain seperti rifampicin dan ubat barbiturat.

Wanita yang mengalami alahan terhadap bahan pil perancang kecemasan tidak boleh mengambil pil tersebut. Kaedah pencegahan kehamilan yang lain seperti IUCD boleh digunakan untuk mencegah kehamilan selepas hubungan kelamin tanpa perlindungan. IUCD boleh dimasukkan dalam tempoh 5 hari selepas hubungan kelamin tanpa perlindungan atau 5 hari selepas ovulasi (hari ke-19 bagi wanita yang mempunyai kitaran haid selama 28 hari). Kaedah IUCD adalah sangat berkesan dan ia boleh mencegah kehamilan sehingga 5 tahun.

Keberkesanan pil perancang kecemasan bukanlah 100%. Oleh itu, jika darah haid kurang atau haid lewat selama satu minggu selepas menggunakan pil perancang kecemasan, ada kemungkinan bahawa pil perancang tersebut tidak berkesan dan wanita tersebut telah hamil. Jika perkara ini berlaku, sila berjumpa dengan doktor dengan segera untuk menjalankan pemeriksaan.

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?