Sakit Badan

Punca, gejala dan cara mengatasi sakit belakang

Baca Soalan

Pengenalan

Secara umumnya, sakit belakang merupakan kesakitan yang berlaku di sekitar bahagian tulang belakang. Oleh itu, sakit belakang merangkumi kesakitan di bahagian leher hingga bahagian pinggang. Sakit belakang sering menyebabkan kesakitan yang menjadi lebih teruk semasa membongkok, mengangkat barang, berjalan atau berdiri. Kadang kala kesakitan di bahagian belakang boleh merebak ke kedua-dua belah kaki.

Sakit belakang merupakan salah satu kondisi yang paling biasa di seluruh dunia. Sakit belakang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan jantina. Kajian telah menganggarkan bahawa setiap orang akan mengalami sekurang-kurangnya satu kali sakit belakang dalam seumur hidup mereka. Sakit belakang yang berpanjangan merupakan salah satu kondisi yang paling kerap menyebabkan ketidukupayaan untuk bekerja dan mengamalkan aktiviti-aktiviti harian.

Punca Sakit Belakang

Sakit belakang bukanlah penyakit tetapi ia merupakan gejala atau tanda bagi sesuatu penyakit. Banyak pesakit yang sering bertanya “sakit tulang belakang tanda penyakit apa?”


Terdapat pelbagai jenis punca yang boleh menyebabkan sakit belakang. Bagi kebanyakan orang, kedudukan atau posisi badan yang kurang baik merupakan punca yang paling utama. Tulang belakang merupakan tulang yang menyokong berat badan kita. Oleh itu, jika seseorang itu tidak berdiri atau duduk dengan baik untuk jangka masa yang lama, otot-otot dan ligamen-ligamen di sekeliling tulang belakang akan menjadi tegang dan kesakitan akan bermula. Warga pekerja pejabat merupakan golongan yang sering mengalami sakit belakang dan sakit tengkuk kerana mereka duduk atau berdiri dengan posisi yang tidak baik untuk jangka masa yang berpanjangan setiap hari.

Bagi golongan wanita, salah satu penyebab sakit pinggang pada wanita ialah kehamilan. Semasa hamil, tulang belakang akan membongkok ke belakang untuk menampung berat bayi yang makin meningkat. Kedudukan membongkok ini akan menyebabkan ketegangan dan kesakitan otot di bahagian tulang belakang. Sakit belakang yang tidak berada di bahagian tengah biasanya disebabkan oleh punca-punca lain dan bukannya masalah tulang belakang. Sebagai contohnya, sakit belakang badan sebelah kanan atas biasanya berpunca dari masalah tulang rusuk atau masalah organ dalaman.

Selain itu, terdapat pelbagai jenis punca lain yang boleh menyebabkan sakit belakang. Antaranya termasuk:

  • Tulang belakang patah (akibat trauma, jatuh dan sebagainya)

  • Prolapsed intervertebral disc, iaitu sejenis kondisi di mana cecair seperti jeli antara 2 ketul tulang belakang telah terkeluar dari kedudukan asalnya

  • Scoliosis dan kyphosis tulang

  • Kanser tulang belakang

  • Osteoporosis (tulang yang lemah)

  • Radang sendi tulang belakang

  • Jangkitan kuman tulang belakang

  • Penyakit batu karang

  • Penyakit radang pelvis (pelvic inflammatory disease)

Gejala Sakit Belakang Yang Merisaukan

Sakit belakang biasanya tidak akan dikaitkan dengan tanda atau gejala yang lain. Oleh itu, sekiranya seseorang itu mengalami gejala atau tanda yang tidak normal, ia bermakna bahawa risiko menghidap penyakit kanser atau jangkitan tulang adalah lebih tinggi dan struktur tulang yang lemah boleh menjejaskan fungsi saraf tunjang atau spinal cord. Oleh itu, jika anda mengalami salah satu dari gejala ini bersama dengan sakit belakang, sila berjumpa dengan doktor dengan segera.

Gejala-gejala yang merisaukan adalah merangkumi:

  • Kekurangan selera makan tanpa sebab

  • Penurunan berat badan tanpa sebab

  • Demam

  • Sakit kepala

  • Sakit di bahagian perut

  • Sakit belakang semasa berehat atau tidur

  • Sakit belakang yang teruk atau menusuk

  • Ketidakupayaan untuk mengawal pembuangan kencing dan air besar

  • Kebas di bahagian kaki, peha dan punggung

  • Kaki yang makin lemah atau lumpuh sepenuhnya

  • Kesakitan yang merebak ke bahagian kaki

  • Pesakit ialah pengguna dadah

  • Pesakit pernah menghidap barah

  • Pesakit pernah mengalami kegagalan buah pinggang atau organ hati

Rawatan Sakit Belakang

Terdapat pelbagai jenis cara menghilangkan sakit belakang pada zaman sekarang. Rawatan bagi sakit belakang adalah bergantung kepada punca sakit belakang tersebut.

Secara amnya, sakit belakang yang disebabkan oleh posisi badan yang tidak betul boleh disembuhkan melalui rehat yang secukupnya serta pengamalan posisi badan yang sesuai. Pesakit juga akan dinasihatkan untuk membuat senaman ringan setiap 1 hingga 2 jam untuk melegakan ketegangan otot di bahagian belakang. Ubat sapu dan ubat tahan sakit boleh digunakan untuk mengurangkan kesakitan.

Bagi pesakit-pesakit yang mengalami sakit belakang yang lebih serius, mereka boleh dirujuk kepada pakar fisioterapi untuk belajar senaman sakit belakang. Senaman-senaman untuk sakit belakang ini akan membantu membetulkan postur badan pesakit dan mengurangkan inflamasi dan kesakitan. Untuk pesakit-pesakit yang disahkan menghidap penyakit-penyakit lain yang lebih serius seperti jangkitan atau barah tulang belakang, mereka akan dirujuk kepada pakar untuk mendapatkan rawatan yang paling berkesan.

Komplikasi Sakit Belakang

Sakit belakang yang tidak dirawat dengan awal boleh menyebabkan komplikasi serius terhadap kesihatan fizikal dan mental. Sakit belakang yang disebabkan oleh kedudukan dan posisi badan yang tidak betul boleh menjadi sakit belakang yang kronik.

Sakit belakang kronik akan menjejaskan kemampuan seseorang itu untuk bekerja dan menjalankan aktiviti-aktiviti harian. Kajian juga telah menunjukkan bahawa sakit belakang kronik akan menyebabkan stres dan tekanan emosi berpanjangan kepada pesakit-pesakit. Oleh itu, golongan pesakit ini mempunyai risiko tinggi untuk menghidap penyakit psikiatrik seperti kemurungan.

Sakit belakang yang tidak dirawat akan mendatangkan komplikasi jangka masa panjang yang serius. Sebagai contohnya, jangkitan atau barah tulang belakang yang tidak dirawat dengan awal boleh menyebabkan maut. Selain itu, sebarang kecacatan tulang belakang yang tidak dirawat seawalnya boleh menyebabkan penghimpitan dan penjejasan saraf tunjang di dalam tulang belakang. Saraf tunjang yang terjejas sering menyebabkan kecacatan kekal seperti kaki lumpuh dan kegagalan mengawal pembuangan air kencing dan air besar.

Pencegahan Sakit Belakang

Secara umumnya, sakit belakang merupakan kondisi yang boleh dicegah.

  • Setiap orang digalakkan untuk mengamalkan postur dan kedudukan badan yang betul semasa duduk, berdiri, mengangkat barang berat dan berjalan.
  • Elakkan daripada duduk atau berdiri untuk jangkan masa berjam-jam.
  • Rehat dan senaman ringan boleh digunakan setiap 1 atau 2 jam untuk meregangkan otot-otot di bahagian belakang.
  • Senaman aerobik untuk 1 jam setiap hari akan membina kekuatan otot di bahagian belakang dan membantu tulang belakang menampung berat badan.
  • Jika seseorang itu mempunyai berat badan yang berlebihan, penurunan berat badan dan pengekalan berat badan yang optimum akan membantu mengelakkan kecederaan dan mengurangkan tekanan pada struktur tulang belakang.
  • Amalkan diet pemakanan yang sihat dan hindarkan tabiat merokok.
  • Bagi warga yang makin berusia, pemeriksaan kesihatan yang berkala adalah sangat digalakkan.
  • Selain itu, kaum wanita terutamanya wanita yang telah menopaus seharusnya mengambil zat kalsium dan vitamin D yang secukupnya untuk mencegah osteoporosis.

Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran

Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?