Ketuat

Penyebab, Gejala, Diagnosis,Tips Dan Cara Hilangkan Ketuat

Baca Soalan

Apa itu ketuat

Bagi masyarakat Malaysia, seringkali kita berjumpa atau mendengar permasalahan mengenai ketuat dari ahli keluarga atau teman-teman. Ramai yang kadangkala masih keliru mengenai kondisi ketuat itu sendiri. Jadi, apakah ia?

Ketuat merupakan sejenis ketumbuhan tidak berbahaya yang berada pada kulit individu yang terlibat. Ia sebenarnya disebabkan oleh jangkitan sejenis virus yang dinamakan sebagai Human Papiloma Virus (HPV). Sesetengah orang mungkin pernah mendengar nama virus ini kerana ia juga dikaitkan dengan kanser pangkal rahim. Namun, terdapat banyak jenis HPV dan setiap jenis akan membawa kepada masalah yang berbeza. Sebagai contoh, HPV jenis 16 dan 18 bertanggungjawab sebagai agen yang menyebabkan kanser pangkal rahim manakala jenis 6 dan 11 pula ‘bertugas’ untuk mencetuskan masalah ketuat pada alat kelamin.

Risiko mendapat ketuat

Sesiapa sahaja boleh terdedah kepada risiko untuk dijangkiti oleh virus ini. Hal ini disebabkan oleh sifat HPV yang mudah untuk merebak dan oleh sebab itu, ketuat berjangkit dengan cepat. Anda boleh dijangkiti ketuat hanya dengan menyentuh ketumbuhan yang sama berada pada badan anda sendiri atau badan orang lain. Selain itu, berkongsi tuala atau pisau cukur dengan seseorang yang sudah dijangkiti juga akan meningkatkan risiko anda untuk mendapat virus ini. Kebarangkalian tersebut juga semakin bertambah sekiranya anda mempunyai luka pada tempat sentuhan di mana ia memudahkan virus HPV untuk menyelinap masuk ke bahagian bawah kulit. Oleh sebab itu, amalan korek ketuat adalah dilarang kerana ia boleh merebak dengan mudah pada tangan atau muka anda.

Individu yang tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan mempunyai risiko yang rendah unutk mendapat masalah ini. Seperti patogen (virus, bakteria dan kulat) lain, HPV memerlukan tubuh badan yang mempunyai sistem imuniti yang lemah untuk terus membiak dan menjalankan kerja-kerja kotor mereka. Dengan itu, kanak-kanak, warga emas dan seseorang yang mempunyai sistem pertahanan tubuh badan yang lemah mempunyai peratusan yang lebih tinggi untuk menerima jangkitan ini. Golongan yang mempunyai sistem imuniti badan yang lemah terdiri daripada pesakit HIV, pesakit kanser yang menjalani kemoterapi dan individu yang mengambil steroid untuk jangka masa yang panjang sebagai contoh pesakit yang baru menjalani pembedahan pemindahan organ.

Walaupun demikian, seseorang yang mempunyai yang baik juga masih mempunyai risiko untuk mendapat jangkitan HPV.

Gejala ketuat

Jangkitan virus HPV pada kulit boleh melibatkan pelbagai bahagian anggota tubuh badan seperti pada muka, jari tangan, tapak kaki dan kawasan yang sering dicukur seperti pada bahagian dagu untuk lelaki dan betis untuk kaum wanita. Ketuat yang tumbuh pada bahagian kemaluan atau pinggul adalah merupakan sejenis ketuat yang paling tidak disukai kerana ia berada di dalam kumpulan penyakit kelamin berjangkit (STD). Hal ini menyebabkan ramai individu tidak gemar untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang terhadap stigma bakal di hadapi dan berasa malu dengan pengalaman ketuat kelamin yang dihadapi.

Untuk ketuat yang berlaku pada bahagian muka dan tangan, jangkitan ini boleh diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu ketuat biasa dan ketuat rata. Bagi jenis yang pertama, ketumbuhan yang mempunyai tekstur kasar apabila disentuh adalah ciri-cirinya yang paling utama. Ia boleh berlaku pada bahagian jari terutamanya pada golongan individu yang gemar menggigit kuku. Bagi kanak-kanak pula, ia kerap dijumpai pada bahagian bawah hidung. Ketuat rata pula boleh berlaku pada mana-mana bahagian badan namun ia lebih kerap ditemui pada bahagian dagu untuk lelaki dan betis untuk wanita. Ia berbeza dengan jenis yang pertama dari segi bentuknya yang lebih rata, lebih kecil dan lebih licin. Walaupun begitu, ia juga boleh timbul dengan jumlah yang banyak; di antara 20 sehingga 100 dalam satu-satu masa. Hal ini tidak menyenangkan pesakit atas sebab-sebab kosmetik.

Adakah anda pernah melihat ketuat berlubang? Kebiasaannya jangkitan HPV akan menyebabkan ketumbuhan namun apabila ia berada pada tapak kaki, berat badan akan memberikan tekanan ke atas ketuat semasa berdiri dan berjalan. Hal ini secara tidak langsung akan menolak ketuat tersebut ke dalam dan memberikan gambaran seolah-olah tapak kaki mempunyai lubang. Ketumbuhan jenis ini kadangkala menyakitkan dan mempunyai titik hitam. Antara ciri-cirinya yang lain adalah ia timbul secara berkelompok.

Selain itu, ketuat jenis filiform pula biasanya berlaku kepada pesakit HIV. Berbentuk panjang, cepat membesar dan tiba dengan jumlah yang banyak sama ada di tangan, kaki, mulut atau hidung. Jangkitan ini kelihatan lebih teruk daripada jenis jangkitan HPV yang lain.

Kebiasaanya jangkitan virus ini pada kawasan kelamin tidak mendatangkan sebarang simptom selain daripada ketumbuhan. Namun, kadangkala pesakit akan berasa gatal-gatal, rasa terbakar, luka ketuat, cecair keluar dari saluran kencing dan kesakitan semasa hubungan seksual boleh berlaku. Ia boleh berlaku di mana-mana bahagian alat kelamin dan kawasan sekitarnya seperti di pinggul, dubur dan saluran kencing.

Rawatan ketuat

Selain daripada ketuat di bahagian kemaluan, jenis yang lain kerap kali boleh hilang dengan sendiri tanpa sebarang rawatan, lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak. Walaupun ketuat tidak berbahaya, adalah disarankan untuk anda berjumpa dengan doktor untuk membuangnya. Terdapat beberapa pilihan rawatan untuk situasi ini.

Ubat yang diberi nama sebagai asid salisilik boleh didapati dengan mudah di mana-mana farmasi yang berdekatan. Begitu juga dengan sejenis ubat lagi yang bernama Cantharidine. Sekali lagi ingin ditekankan untuk anda mendapat pengesahan dari doktor sebelum mengambil rawatan sendiri mengenai jangkitan ini kerana bimbang terhadap kemungkinan diagnosis yang salah. Kedua-dua ubat ini boleh dianggap mujarab tetapi terdapat pelbagai lagi alternatif yang tersedia.

Cryotherapy ataupun terapi pembekuan menggunakan cecair nitrogen boleh dilakukan di mana-mana hospital yang mempunyai pakar kulit. Ia mudah dan tidak mendatangkan sebarang kesakitan. Ketuat juga boleh dibakar dengan menggunakan arus eletrik terkawal yang boleh dibuat oleh doktor sahaja. Di samping itu, ketumbuhan ini boleh juga dihapuskan dengan menggunakan pisau walaupun seringkali prosedur ini boleh menjadi tidak menyenangkan untuk pesakit . Penggunaan laser semakin meluas terhadap ketuat yang sukar untuk dihilangkan di samping rawatan canggih yang lain iaitu suntikan bleomycin dan terapi imun.

Sementara itu, rawatan untuk hilangkan ketuat dengan cepat pada jangkitan di bahagian kelamin perlulah berada di bawah pemantauan doktor. Penggunaan cecair podophyllin harus diambil sekurang-kurangnya selama satu minggu. Krim buang ketuat atau juga dikenali sebagai imiquimod pula perlu disapu 3 kali dalam seminggu dan tempohnya boleh mencecah sehingga 4 bulan. Sekiranya pesakit tidak bersetuju untuk menggunakan krim ketuat yang boleh dikatakan mengambil masa yang lama, pilihan lain seperti yang telah dibincangkan di atas boleh juga dipertimbangkan.

Written by: Dr Nur Syuhada Binti Zulkifli

Degree in Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?