Sakit Tekak

Penyebab, Gejala, Diagnosis, Ubat Dan Cara Hilang Sakit Tekak

Baca Soalan

Pengenalan

Sakit tekak merupakan simptom yang biasa dalam kalangan populasi kita. Ia mempunyai pelbagai penyebab yang boleh menyebabkan sakit tekak. Sakit tekak boleh merangkumi perasaan kesakitan, kekeringan ataupun kegatalan pada tekak anda.

Jenis sakit tekak boleh merangkumi bahagian larynx dan pharynx anda. Sakit tekak sering dirawati mengikuti puncanya, contoh jangkitan, alahan, post intubasi ataupun kanser. Artikel ini akan memberikan informasi tentang penyebab sakit tekak, gejala sakit tekak, rawatan bagi sakit tekak, komplikasi sakit tekak dan pencegahannya.

Penyebab sakit tekak

Terdapat beberapa sebab sakit tekak. Contohnya :

  1. Jangkitan virus

Jangkitan virus merupakan jangkitan biasa dalam populasi kita. Contoh virus yang boleh menyebabkan sakit tekak termasuk virus selsema, croup dan mononucleosis. Ia sering menjadi punca sakit tekak ketika menelan.

  1. Jangkitan bakteria

Jangkitan bakteria menyebabkan simptom yang lebih serius dan sakit. Strep throat ataupun sakit tekak akibat jangkitan Streptococcus boleh menyebabkan sakit tekak yang serius dan kesusahan menelan. Jika bakteria ialah penyebab sakit tekak, anda memerlukan antibiotik. Jangkitan bakteria tekak boleh menyebabkan komplikasi kepada jantung ataupun masalah buah pinggang jika tidak dirawat.

  1. Alahan

Alahan merupakan respon tubuh badan yang sensitif terhadap alergen. Alergen boleh termasuk debu, debunga ataupun titisan hingus yang mengalir ke arah tekak daripada hidung anda.

  1. Refluks asid

Sakit tekak akibat refluks asid kebanyakkanya berlaku pada waktu pagi. Asid perut boleh mengalir ke tekak anda pada waktu malam semasa anda sedang tidur.

  1. Kerengsaan daripada udara yang kering, bahan kimia ataupun asap rokok

Kerengsaan akan bertambah apabila anda bernafas melalui mulut anda.

  1. Laryngitis akibat penggunaan suara yang berlebihan

Sesetengah pekerjaan menggunakan suara yang berlebihan terutamanya penyanyi professional ataupun cikgu yang mengajar. Selain sakit tekak, anda juga boleh mempunyai bunyi serak dan sakit semasa bercakap.

  1. Post-intubation

Selepas surgeri, pesakit yang diintubasi akan mempunyai sakit tekak kerana tiub yang dimasukkan ke dalam tekak anda.

  1. Kanser

Pertumbuhan ataupun tumor boleh menyebabkan sakit tekak. Ia boleh menjadi satu punca sakit tekak yang berlarutan.

Gejala sakit tekak

Sakit tekak merupakan satu simptom. Sakit tekak boleh merangkumi kesakitan, kegatalan, kekeringan dan kerengsaan tekak anda. Kebanyakkan sakit tekak boleh mempunyai simptom-simptom yang lain.

Contoh-contoh gejala yang boleh berlaku bersama sakit tekak termasuk :

  • Hidung tersumbat

  • Hidung berair

  • Bersin

  • Batuk

  • Demam

  • Menggigil

  • Noda limfa yang bengkak

  • Suara yang serak

  • Sakit kepala

  • Sakit tekak ketika menelan

  • Kekurangan selera makan

Tertakluk kepada penyebab sakit tekak, anda boleh mempunyai simptom-simptom yang lain. Selsema yang disebabkan oleh virus boleh mempunyai kombinasi hidung tersumbat, hidung berair, bersin dan sakit tekak. Jangkitan bakteria juga boleh mempunyai kombinasi sebegini tetapi berbanding dengan jangkitan virus, ia kurang mempunyai simptom sistemik seperti sakit otot ataupun sakit kepala. Jikalau sakit tekak disebabkan oleh kanser, anda boleh mempunyai kekurangan berat badan walaupun mempunyai selera makan yang biasa. Tanda bayi sakit tekak boleh mempunyai tangisan yang tidak berhenti-henti, kekurangan selera dan kurang aktif.

Rawatan sakit tekak

Sekiranya anda mempunyai sakit tekak yang tidak diketahui asal-usulnya, maka anda perlu mencari doktor anda untuk mendapat rawatan yang sewajarnya. Doktor akan bertanya soalan tentang jangka masa sakit tekak, simptom-simptom yang berkenaan dan rawatan yang pernah diambil. Selepas itu, doktor membuat pemeriksaan pada tekak anda dengan visualisasi tekak anda. Kebanyakkan masa doktor akan nampak tekak yang kemerah-merahan kerana radang tekak. Sesetengah masa doktor akan mendapat sampel dari tekak anda untuk membuat kultur bagi menentukan jenis kuman jangkitan. Hal sedemikian penting untuk menentukan keperluan antibiotik dalam rawatan anda.

Secara amnya, antibiotik akan diberikan sekiranya anda mempunyai jangkitan bakteria pada tekak anda. Jikalau anda memerlukan ujian yang selanjutnya, anda memerlukan bantuan doktor pakar ENT (ear,nose and throat). Jangkitan virus pada tekak anda akan sembuh sendiri dalam masa 2-7 hari. Doktor akan memberikan nasihat supaya berehat di rumah sepenuhnya supaya sistem imun dapat melawan jangkitan.

Petua-petua rawatan sakit tekak di rumah

  1. Penyediaan minuman suam seperti teh dengan madu ataupun air lemon. Ia membantu melegakan sakit tekak anda.

  2. Menghisap lozenges yang membantu mengurangkan kesakitan.

  3. Rehatkan tekak anda dengan mengurangkan percakpan.

  4. Jikalau anda mempunyai pelembap udara, ia dapat membantu mengurangkan sakit tekak dengan pembekalan udara yang lembap.

  5. Makanan untuk sakit tekak adalah makanan yang lembut dan senang ditelan. Contohnya bubur, oats ataupun sup.

  6. Makanan elak untuk batuk termasuk makanan pedas, kering dan keras. Contohnya kari ataupun biskut kering.

Sekiranya sakit tekak anda mempunyai gejala ataupun simptom di bawah, sila berjumpa dengan doktor anda segera.

  1. Sakit tekak yang serius

  2. Kesusahan menelan

  3. Kesusahan bernafas

  4. Kesusahan membuka mulut

  5. Demam yang mencecah 38 degree celcius

  6. Sakit telinga

  7. Darah dalam air liur anda

  8. Sakit tekak yang melebihi seminggu (sakit tekak berpanjangan)

Komplikasi sakit tekak

Beberapa komplikasi boleh disebabkan oleh sakit tekak sendiri, ataupun komplikasi daripada penyebab sakit tekak. Kebanyakkan komplikasi disebabkan oleh penyebab sakit tekak, contohnya alahan ataupun jangkitan tertentu seperti haemophilus influenza dan streptococcus pneumoniae.

  1. Komplikasi strep throat (jangkitan streptococcus pneumoniae) :

    • Dehidrasi sekiranya tidak minum air yang mencukupi

    • Kekurangan nutrisi akibat sakit semasa menelan makanan

    • Demam reumatik

    • Masalah buah pinggang

    • Kesesakan bernafas

  1. Alahan

    • Risiko yang lebih tinggi mendapat asma

    • Masalah ENT seperti sinusitis, jangkitan telinga ataupun jangkitan paru-paru

  1. Jangkitan haemophilus influenza (epiglottitis) :

    • Kesesakan bernafas akan sekatan saluran pernafasan

Pencegahan sakit tekak

Pencegahan sakit tekak melibatkan gaya hidup dan pengurangan pendedahan kepada jangkitan. Antara contoh-contoh pencegahan termasuk :

  • Asingkan diri daripada orang yang sakit, terutamanya selsema. Jika masih perlu untuk berurusan dengan orang tersebut, sila lindungi diri anda dengan menggunakan topeng muka.

  • Selalu mencuci tangan anda.

  • Tidak berkongsi makanan, minuman ataupun perkakas.

  • Kurangkan penyentuhan tangan ke mata ataupun muka anda.

  • Amalkan permakanan yang sihat.

  • Dapat rehat yang mencukupi.

  • Minum air yang mencukupi.

Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan ataupun masalah sakit tekak, sila berjumpa dengan doktor anda untuk mendapat pemeriksaan dan pertanyaan yang selanjutnya.

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?