Tonsil

Penyebab, Gejala, Diagnosis Dan Rawatan Sakit Tonsil

Baca Soalan

Apa itu tonsil?

Tonsil merupakan sejenis tisu limfoid yang terletak di permulaan saluran pernafasan dan pencernaan anda. Ia merupakan salah satu bahagian sistem imun dan membantu untuk melindungi badan anda daripada jangkitan. Tisu-tisu limfoid yang terletak di bahagian kerongkong (oropharynx) anda tersusun dalam bentuk bulatan yang dikenali sebagai “Waldeyer’s ring.”

Anatomi tonsil

Penggunaan perkataan “tonsil” oleh orang ramai biasanya merujuk kepada tonsil palatine yang adakalanya boleh dilihat apabila anda membuka mulut anda. Sebenarnya terdapat beberapa kumpulan tonsil lain iaitu:

  1. Tonsil pharyngeal yang juga dikenali sebagai “adenoid” terletak berhampiran pembukaan rongga hidung ke dalam pharynx (bahagian tekak) anda. Apabila tonsil ini membesar, ia boleh mengganggu pernafasan anda.

  2. Tonsil palatine wujud dalam pasangan, berbentuk bujur dan terletak di dinding sisi kerongkong berhampiran pembukaan rongga mulut anda ke dalam pharynx.

  3. Tonsil lingual terletak pada permukaan belakang lidah dan juga berhampiran pembukaan rongga mulut ke dalam pharynx anda.

  4. Tonsil tubal terletak berdekatan dengan pembukaan Eustachian tube (saluran yang bersambungan dengan bahagian tengah telinga anda) ke dalam nasopharynx anda.

Ukuran tonsil adalah berbeza bergantung kepada umur dan status patologi tonsil tersebut. Ketika kanak-kanak berumur 5-6 tahun, tonsil akan membesar dengan cepat dan mencapai saiz maksimumnya ketika akil baligh. Mengikut ukuran purata, saiz tonsil selepas seseorang mencapai akil baligh adalah kira-kira 2-2.5 cm tinggi dan 1-1.5 cm lebar. Setelah itu, tonsil akan beransur-ansur mengecil apabila umur seseorang meningkat. Apabila mencecah umur tua, hanya sedikit tisu tonsil wujud lagi.

Fungsi tonsil

Tonsil adalah barisan pertahanan pertama sistem imun anda terhadap patogen asing iaitu organisma seperti virus yang boleh menyebabkan jangkitan. Patogen ini diperangkap oleh tonsil apabila ditelan atau dihirup. Oleh sebab itu, tonsil mempunyai pengaliran darah yang pesat supaya badan anda boleh membangunkan respon imun yang sesuai dan pantas apabila terdedah kepada patogen asing tersebut.

Tonsil anda mempunyai sel-sel khusus yang dikenali sebagai sel M yang boleh menangkap antigen iaitu sejenis protein yang dihasilkan oleh patogen asing. Sel M kemudian akan memaklumkan sel-sel imun lain iaitu sel B dan sel T di dalam tonsil anda bahawa terdapat patogen yang telah dikesan untuk merangsangkan tindak balas imun yang sesuai.

Sel B akan diaktifkan, berkembang dan meningkat dalam jumlah di dalam tonsil dan menghasilkan antibodi (sejenis protein) yang akan membantu mempertahankan badan anda terhadap patogen tersebut. Sesetengah sel-sel B ini juga akan menjadi sel memori yang akan mengingati patogen yang pernah dikesan supaya pengeluaran antibodi akan menjadi lebih cepat jika jangkitan yang sama berulang. Tonsil juga akan menghasilkan limfosit T yang akan membantu menyerang jangkitan yang telah dikesan.

Penyakit-penyakit yang boleh menjejaskan tonsil

Kebanyakan masalah yang kerap dikaitkan dengan tonsil ialah pembesaran dan keradangan tonsil yang boleh disebabkan oleh pelbagai jenis penyakit seperti yang berikut:

Tonsilitis

Tonsilitis adalah keradangan tonsil yang disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus. Ia adalah penyakit yang kerap berlaku terutamanya kepada kanak-kanak dan dewasa muda. Biasanya, tonsilitis ini adalah masalah yang akut (buat jangka pendek) yang menyebabkan gejala-gejala seperti sakit tekak, demam, pembesaran tonsil, kesukaran menelan dan pembesaran noda limfa di leher. Selain itu, permukaan tonsil mungkin akan kelihatan merah cerah dengan tindik-tindik putih atau garisan-garisan nanah. Rawatan tonsilitis biasanya adalah menggunakan ubat-ubat seperti ubat anti-radang dan antibiotik jika disebabkan oleh jangkitan bakteria. Jika jangkitan tonsil ini berulang-ulang, berterusan dan menjadi kronik, pembedahan untuk membuang tonsil (tonsillectomy) mungkin akan diperlukan.

Abses Peritonsillar

Abses peritonsilar merujuk kepada nanah yang terkumpul di tisu tekak yang mengelilingi dan berdekatan dengan tonsil. Masalah ini merupakan salah satu komplikasi tonsilitis yang boleh berlaku jika ia tidak berjaya dirawat dan jangkitan menjadi semakin parah. Jika masalah ini tidak dirawat dan disingkirkan dengan segera, ia boleh menghalang saluran pernafasan dan menyebabkan komplikasi lain di leher dan dada yang boleh mengancam nyawa. Rawatan lebih lanjut biasanya diberikan di hospital di mana nanah tersebut perlu disingkirkan dan pesakit perlu dirawat dengan antibiotik. Pesakit yang lebih sakit dan lemah mungkin memerlukan rawatan sokongan seperti cecair untuk mengatasi dehidrasi akibat jangkitan tersebut.

Tonsilloliths

Tonsilioliths ialah batu tonsil yang berwarna kelabu-putih atau kuning yang terbentuk akibat pengumpulan sel kulit mati dan serpihan selular yang lain yang terperangkap dalam alur tonsil anda. Batu tonsil mungkin boleh menyebabkan nafas berbau atau kesakitan apabila menelan. Batu tonsil yang lebih besar juga boleh mengiringi jangkitan tonsil dan menyebabkan simptom-simptom tonsilitis seperti sakit tekak, rasa tidak selesa di belakang tekak, kesukaran menelan, sakit telinga dan pembengkakan tonsil. Namun, terdapat kemungkinan tonsiloliths yang tidak menyebabkan apa-apa simptom.

Adenotonsillar hypertrophy

Masalah lain yang boleh terjadi kepada tonsil ialah “adenotonsillar hypertrophy” iaitu keadaan di mana tonsil bengkak tapi tidak sakit. Ia merupakan salah satu sebab halangan saluran pernafasan atas yang paling kerap berlaku kepada kanak-kanak. Mereka yang sering mengalami jangkitan tonsil lebih cenderung untuk mendapat masalah ini. Walau bagaimanapun, terdapat juga sesetengah orang dilahirkan dengan “tonsil hypertrophy” atau mengalami pembengkakan yang sebabnya tidak dapat dikenalpasti. Ini boleh menghalang saluran udara atau mengganggu telan pesakit dan menyebabkan gejala-gejala lain seperti perubahan suara, masalah bernafas, apnea (OSA), pernafasan dengan bunyi kuat, berdengkur, masalah tidur, jangkitan telinga yang kronik dan hidung berair. Bagi kes-kes yang lebih parah, komplikasi jangka lama yang boleh berlaku termasuk pertumbuhan yang terjejas, masalah jantung dan peredaran darah (kardiovaskular) dan masalah neurokognitif seperti masalah pembelajaran dan tingkah laku, hiperaktif dan masalah kurang perhatian. Kadangkala bagi mengatasi masalah ini, pembedahan tonsil atau adenoid mungkin diperlukan.

Kanser tonsil

Kanser tonsil adalah penyakit yang jarang berlaku dan pesakit yang mendapat penyakit ini biasanya adalah warga yang lebih tua. Penggunaan tembakau adalah penyebab utama kanser tonsil. Virus papilloma manusia (HPV) juga boleh menyebabkan kanser tonsil dan merupakan punca utama bagi sejenis tonsil kanser yang khusus iaitu “carcinoma squamous cell.” Kanser lain yang boleh juga menjejaskan tonsil ialah “limfoma.” Gejala-gejala kanser tonsil mungkin termasuk kesusahan menelan, pembesaran tonsil yang tidak seimbang, ketumbuhan yang dapat dirasa di leher, sakit leher, sakit telinga, suara serak, keletihan dan pengurangan berat. Rawatan bagi kanser tonsil melibatkan pembedahan serta rawatan radioterapi dan kemoterapi jika diperlukan.

Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran

Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?