Sakit Tumit

Penyebab, Gejala, Ubat Dan Rawatan Sakit Tumit

Baca Soalan

Pengenalan

Kesakitan yang berlaku di bahagian tumit boleh disebabkan oleh banyak kemungkinan. Diagnosis hanya akan dapat dicapai melalui maklumat yang cukup beserta pemeriksaan fizikal yang lengkap. Lokasi kesakitan bersama-sama beberapa isu lain adalah perkara yang boleh dijadikan panduan untuk mengenalpasti punca kepada kesakitan yang dialami. Tulisan ini akan membincangkan penyakit-penyakit yang boleh mengakibatkan ketidakselesaan pada tumit anda.

Penyebab sakit tumit

Penyebab utama untuk masalah ini pada kebiasannya adalah disebabkan oleh hal-hal mekanikal ataupun pergerakan pada bahagian tumit itu sendiri. Apabila pesakit datang untuk berjumpa dengan doktor, hampir setiap masa sakit tumit ini adalah disebabkan oleh plantar fascititis. Plantar fasciitis adalah suatu keadaan di mana terdapat tekanan yang terlalu tinggi pada kaki anda dan seterusnya menyebabkan kecederaan kepada lembaran tisu ligamen pada bahagian tersebut. Selain daripada tumit yang sakit, pesakit akan mengalami situasi di mana telapak kaki sakit saat bangun tidur dan penyakit ini juga adalah penyebab telapak kaki sakit saat berjalan. Walau bagaimanapun, apa yang dirasakan itu akan berkurangan dengan pergerakan tetapi, adalah diingatkan bahawa jika kaki yang terlibat itu diletakkan dengan bebanan yang agak berat dan konsisten sepanjang hari, kesakitan akan timbul semula. Sekiranya telapak kaki sakit kalau ditekan, ia boleh meninggikan kebarangkalian bahawa diagnosis ini adalah tepat.

Berikut adalah antara situasi atau penyakit lain yang juga boleh menyebabkan sakit tumit:

Tulang calcaneal yang retak:

  • Calcaneal adalah tulang tumit.
  • Apabila ia dikatakan retak, ia terjadi disebabkan oleh pendedahan kepada bebanan yang berlebihan dan secara berterusan kepada kaki tersebut.
  • Sebagai contoh apabila pesakit terpaksa berjalan di permukaan yang tidak rata untuk waktu yang lama.
  • Ketika pemeriksaan dilakukan oleh doktor, benjolan di tumit kaki bersama lebam mungkin akan ditemui.
  • Pada peringkat awal, kesakitan akan dirasai semasa pesakit berjalan sahaja namun jika tidak diberikan perhatian yang sewajarnya maka keadaan tumit sakit saat bangun tidur dan ketika sedang berehat tidak mustahil akan berlaku.

Sindrom pad tumit (Heel pad syndrome):

  • Sindrom ini selalunya disalah anggap sebagai plantar fasciitis oleh kerana ciri-ciri kesakitan yang hampir sama.
  • Namun, sifat-sifat klasikal yang dibawa oleh sindrom ini adalah disebabkan oleh keradangan kepada lembaran tisu yang terdapat pada tumit, berbeza dengan plantar fasciitis yang disebabkan oleh isu degenerasi.
  • Untuk masalah ini, pesakit biasanya akan mengalami telapak kaki sakit bagian tengah.

Neuroma:

  • Ia adalah sejenis ketumbuhan yang bukan bersifat kanser yang berlaku di saraf kaki.
  • Mempunyai simptom yang sama seperti plantar fasciitis, apabila bangun tidur telapak kaki sakit untuk berjalan adalah antara gejala-gejala yang biasa didapati selain daripada bengkak di tapak neuroma tersebut.

Ketuat:

  • Penyakit ini adalah disebabkan oleh jangkitan virus yang boleh merebak dengan mudah melalui sentuhan dengan kulit orang yang telah dijangkiti ataupun menggunakan barangan mereka.
  • Ketuat pada bahagian tumit boleh menjadikan telapak kaki sakit bagian depan, tengah atau belakang. Ini kerana ia bergantung kepada lokasi ketuat tersebut.

Golongan berisiko

Adalah sangat penting untuk mengenalpasti golongan orang yang berisiko mendapat kesakitan di bahagian tumit ini agar individu yang berada di dalam kumpulan tersebut boleh menjadi lebih berhati-hati dan mengambil berat tentang keadaan diri mereka.

Tumit yang sakit, seperti yang telah dinyatakan pada awal tulisan, adalah diakibatkan daripada pergerakan tubuh badan manusia. Umum mengetahui bahawa oleh kerana graviti, berat badan manusia akan lebih bertumpu kepada kaki ketika sedang berdiri dan kadangkala pusat kepada penumpuan berat badan adalah tumit.

Sebarang penambahan kepada tekanan tersebut boleh mengganggu atau merosakkan struktur di sekeliling tumit. Untuk plantar fasciitis, keretakan tulang dan sindrom pad tumit, pekerjaan yang memerlukan individu kerap menggunakan kaki adalah risiko yang paling besar.

Askar, pemain bola sepak, buruh binaan dan polis adalah antara profesion yang membawa kebarangkalian yang tinggi untuk mendapat sakit tumit.

Berat badan yang berlebihan boleh menjadi salah satu faktor juga selain dari pemakaian kasut yang salah, bentuk kaki yang memang tidak normal dan diabetes (untuk plantar fasciitis).

Untuk ketuat pula, mempunyai ahli keluarga atau rakan serumah yang memiliki masalah yang sama adalah faktor kepada penyumbangnya jangkitan.

Rawatan

Cara mengubati tumit kaki sakit mempunyai prinsip rawatan yang hampir sama untuk semua penyebab kesakitan:

  • Pada dasarnya, pesakit perlu memberikan rehat yang cukup kepada tumit yang terjejas.
  • Jika tidak mempunyai sebarang kepatahan atau keretakan, pesakit boleh mengamalkan senaman regangan di samping mengunakan krim sapuan tahan sakit.
  • Selain itu, memakai kasut yang dikhaskan untuk pesakit plantar fasciitis juga adalah sangat digalakkan.
  • Untuk plantar fasciitis, terdapat banyak lagi pilihan rawatan yang hanya eksklusif untuk masalah ini sahaja.
  • Suntikan steroid, terapi fizikal, terapi gelombang kejutan dan pembedahan adalah jalan yang boleh diambil oleh pesakit untuk menghilangkan kesakitan.

Bagi masalah keretakan, pesakit dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti fizikal dan jika boleh, cuba untuk tidak menggunakan langsung kaki yang sakit itu buat sementara waktu. Pihak hospital mungkin akan membekalkan but yang khas.

Untuk sindrom pad tumit, rawatan adalah hampir serupa dengan rawatan plantar fasciitis manakala untuk ketuat pula, ubat ketuat boleh didapati dengan mudah di pasaran. Jika ketuat sudah lama atau tidak menunjukkan sebarang kesan kepada ubat tersebut, pesakit boleh memilih untuk melakukan terapi cryo atau pembedahan kecil.

Komplikasi

Oleh kerana plantar fasciitis adalah penyebab utama sakit tumit, tulisan ini hanya akan membincangkan komplikasi yang boleh dibawa oleh penyakit ini sahaja. Rawatan untuk masalah ini perlu dilakukan kerana sebarang penangguhan boleh membawa kepada perkara yang lebih serius. Jika dibiarkan melarat, keupayaan pesakit untuk bergerak akan terus merudum dan lama kelamaan hilang. Sakit pada bahagian belakang, lutut dan pinggul juga akan menyusul.

Bagi pesakit yang terpaksa melakukan pembedahan, terdapat risiko untuk mereka hilang keseimbangan badan selepas pembedahan dilakukan namun ia hanya bersifat sementara.

Pencegahan/Penjagaan kaki

Penyebab tumit sakit sebelah kiri dan kanan boleh dielakkan dari awal.

Amalkan regangan kaki dan tumit setiap pagi sebelum mula berjalan. Ambil sedikit masa untuk berehat bagi mengurangkan tekanan kepada tumit anda. Cuba juga untuk menghilangkan berat badan.

Anda juga boleh menjaga kebersihan kaki anda untuk mengelakkan ketuat selain daripada mengelakkan diri dari memakai kasut yang tidak padan dengan saiz sebenar kaki anda.

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?