Cara Mengekalkan Kesihatan Tubuh Di Musim Perayaan

Baca Soalan

Hidup di bumi Malaysia ini akan tidak dapat lari dari musim perayaan yang berbagai. Dengan rakyat berbilang kaum dan agama, musim perayaan menjadi fungsi penyatuan kaum dan agama di tanah air ini. Namun begitu, musim perayaan sering kali dikaitkan dan dipersalahkan kerana tabiat pemakanan dan aktiviti tidak sihat oleh masyarakat pada waktu ini. 

Sebagai contoh, musim bulan berpuasa bagi kaum Muslim di Malaysia sering dihiasi dengan bazar Ramadhan yang mempunyai pelbagai seleksi makanan. Begitu juga seperti musim perayaan seperti Deepavali atau Tahun Baru Cina yang mempunyai juadah-juadah istimewa serta manisan yang tersendiri. Walaubagaimanapun, makanan tidak harus dipersalahkan. Wujudnya makanan-makanan atau manisan dalam setiap tradisi masyarakat adalah sebagai fungsi penyatuan dan simbol keunikan sesebuah masyarakat.

Bagaimana hendak mengawal diri ketika musim perayaan ini?

Umum mengetahui bahawa setiap makanan tidak seharusnya diambil secara berlebihan. Musim perayaan membawa cabaran yang lebih besar kerana pada amnya, lebih terdapat banyak juadah manisan atau makanan yang lebih berat kalorinya. Di sini disertakan tips-tips kesihatan dan penjagaan tubuh badan yang boleh diamalkan walaupun dalam musim perayaan!

Mengawal pengambilan

Membuat perancangan awal dari sudut penyediaan makanan ataupun untuk kunjungan ke majlis atau rumah terbuka/kenalan adalah penting agar tidak makan secara berlebihan dan tidak terkawal. 

Musim perayaan adalah musim untuk merapatkan silaturrahim atau hubungan sesama kawan dan keluarga. Sudah menjadi lumrah untuk menyediakan makanan untuk tetamu dan untuk tetamu menjamah makanan yang disediakan bagi menghormati tuan rumah. Anda boleh merancang dari sudut pengambilan kuantiti makanan yang sedikit namun mencukupi setiap kali berkunjung ke rumah atau majlis. Keinginan untuk mengambil secara berlebihan perlu dikawal agar kesihatan diri lebih terjaga disamping menjaga penampilan tubuh badan. Letakkan fokus apabila mengambil juadah yang dihidangkan untuk “merasai dan menghormati” makanan dan tuan rumah/majlis dan bukannya untuk kenyang atau memuaskan selera makanan.

Bersenam secara konsisten sebelum dan semasa musim perayaan

Bersenam memberikan kesan positif terhadap kesihatan untuk jangka masa panjang. Senaman juga akan meingkatkan paras metabolisme sesorang dan membantu membakar kalori berlebihan meskipun dalam fasa “berehat”. Fasa berehat ini tidak akan dapat dielakkan dan ianya adalah suatu keperluan bagi membenarkan badan pulih dan membaiki kerosakan tisu badan. 

Senaman yang konsisten juga akan membentuk tabiat untuk tidak bersenang terlalu lama dan menjadi lebih ringan tulang terutamanya ketika musim perayaan ini. Musim perayaan adalah waktu yang sangat sibuk dan memerlukan tenaga yang banyak bagi membuat persiapan majlis dan sebagainya. Oleh itu, bersenam sangat digalakkan bagi meningkatkan stamina asas seseorang. 

Banyakkan minum air kosong dan makan buah-buahan dan sayur-sayuran

Buah-buahan tempatan mahupun buah-buahan luar negara mempunyai 1001 khasiat dan sering menjadi pencuci mulut pada musim perayaan ini. Ambil kesempatan pada waktu ini untuk meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayuran dalam pemakanan seharian. Musim perayaan sering kali dikaitkan dengan kondisi sakit perut, keracunan makan dan sembelit. Buah-buahan dan sayuran mempunyai khasiat seperti serat, pre dan probiotik serta vitamin-vitamin yang dapat membantu sistem imunisasi dan kesihatan usus amnya. 

Jangan lupa juga akan hidrasi dengan perbanyakkan minum air kosong. Sememangnya sukar untuk menolak pelawaan minuman manis terutamanya apabila kita berkunjung ke rumah kenalan ataupun majlis rumah terbuka. Namun begitu, elakkan minum air manis berlebihan dan pilih untuk minum air kosong sekiranya mampu. Hal ini bagi mengelakkan darah menjadi pekat dan tinggi dengan kandungan gula yang sememangnya tidak baik untuk jangka masa panjang.

Tips-tips yang diberikan walaupun sudah biasa didengari dan acapkali dinasihati, masih menjadi teras kepada penjagaan kesihatan dan tubuh badan yang seimbang. Kita tidak seharusnya menyalahkan musim perayaan atau mengelakkan merayakan perayaan yang terdapat di bumi Malaysia ini. Bahkan kitalah yang seharusnya mengambil langkah proaktif dalam penjagaan kesihatan kita disamping meraikan perayaan bersama-sama. 

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?