Kehamilan

Tanda-tanda Awal Kehamilan Mengikut Trimester

Baca Soalan

Kehamilan merupakan satu peristiwa yang penting bagi setiap pasangan yang baru berkahwin. Oleh itu, kebanyakkan orang ingin mengetahui tanda-tanda awal kehamilan supaya mereka dapat membuat perancangan yang seterusnya. Antara pengetahuan kehamilan yang sering dipersoalkan termasuk tanda awal kehamilan, perancangan selepas mengetahui kehamilan dan risiko bagi awal kehamilan.

Tanda awal kehamilan

Seseorang wanita boleh melakukan ujian kecing (UPT - urine pregnancy test) untuk menentukan kehamilan secara objektif. Kebanyakkan wanita akan mempunyai tanda-tanda awal kehamilan seperti tanda yang klasik ataupun tanda-tanda yang lain. Tanda awal kehamilan sering berlaku lebih kurang 2 minggu selepas anda mempunyai kehamilan.

i) Tanda-tanda kehamilan yang klasik:

Tanda kehamilan klasik berlaku selepas seminggu anda mempunyai kehamilan. Tanda kehamilan adalah subjektif kerana bukan semua wanita akan mempunyai tanda-tanda ini. Jikalau anda mengalami simptom sebegini, anda perlu melakukan ujian kehamilan atau berjumpa doktor untuk menentukan kehamilan. Berikut merupakan beberapa tanda kehamilan yang klasik :

  • Tidak datang haid

    • Tanda ini merupakan tanda awal kehamilan setelah berhubungan yang paling klasik. Hal sedemikian hanya dapat digunakan pada wanita yang mempunyai kitaran haid yang teratur. Bagi wanita yang mempunyai haid yang tidak teratur, mereka perlu bergantung kepada ujian objektif seperti UPT (urine pregnancy test). Oleh sebab itu, tanda awal kehamilan bagi haid tidak teratur perlu bergantung kepada tanda yang lain.

  • Payudara yang bengkak dan sakit

    • Semasa awal kehamilan, perubahan hormon menyebabkan payudara bengkak dan sakit. Keadaan ini akan berkurangan apabila usia kandungan anda meningkat.

  • Loya dengan muntah ataupun tanpa muntah

    • Tanda ini adalah berkaitan dengan perubahan hormon dalam tubuh badan anda. Ia seringkali berlaku pada waktu pagi dan dipanggil sebagai “morning sickness”.
  • Kerap kencing

    • Hal ini kerana buah pinggang perlu menapis lebih banyak darah daripada tubuh badan anda dan menghasilkan kencing yang lebih banyak.

  • Kelesuan

    • Hal ini berkaitan dengan tahap hormon progesteron yang bertambah dalam tubuh badan.

ii) Tanda-tanda kehamilan yang lain termasuk:

  • Perubahan mood :

    • Perubahan mood boleh berkaitan dengan perubahan hormon dalam tubuh badan anda. Perubahan sebegini menyebabkan wanita mengandung menjadi sensitif.

  • Pendarahan atau “Spotting”

    • Pendarahan ataupun spotting semasa awal kehamilan berlaku semasa proses implantasi pada rahim anda. Sekiranya anda mempunyai sebarang pendarahan, sila berjumpa dengan doktor anda.

  • Hidung tersumbat

    • Tahap hormon yang meningkat dalam tubuh badan anda boleh menyebabkan membran mukosa hidung anda menjadi lebih cepat kering, bengkak dan mudah berdarah. Faktor-faktor ini menyebabkan anda mengalami hidung tersumbat.

  • Kembung

    • Ini juga berkaitan dengan perubahan hormon badan anda.

  • Sembelit

    • Perubahan hormon melambatkan sistem penghadaman anda dan menyebabkan sembelit.

Tanda awal kehamilan sebelum disahkan hamil boleh dirujuk seperti di atas dan ditentukan dengan ujian objektif seperti UPT( urine pregnancy test).


Apakah yang perlu lakukan setelah mengetahui kehamilan?

Anda boleh membuat lawatan ke klinik untuk pemeriksaan antenatal dan mendapat pengiraan usia kandungan. Ini adalah penting untuk membuat pemeriksaan yang terperinci dan memberikan informasi tentang status kehamilan anda. Anda boleh ke klinik kesihatan kerajaan ataupun klinik swasta.

Secara ideal, anda perlu melakukan lawatan doktor yang pertama semasa minggu 10-12 kehamilan anda. Di klinik kesihatan ibu dan anak, anda akan mendapat satu buku rekod yang dipanggil sebagai buku merah. Ibu perlu pergi sekurang-kurangnya 8 kali klinik susulan sepanjang kehamilan mereka. Kehamilan yang berisiko tinggi ataupun mempunyai komplikasi akan memerlukan lawatan ke klinik susulan yang lebih kerap.


Buku merah ini mengandungi informasi tentang:

  1. Data peribadi dan sosial

    • Nombor telefon

    • Alamat

    • Umur

    • Kumpulan etnik

    • Pekerjaan

  1. Sejarah medikal dan sejarah obstetriks serta ginaekologikal

    • Jumlah anak, jumlah kehamilan

    • Tahun dan umur bagi kehamilan yang sebelumnya (jika ada)

    • Jenis penghantaran anak bagi kehamilan yang sebelumnya (jika ada)

    • Sejarah haid anda

    • Keputusan pap smear

    • Prosedur yang pernah dilakukan berunsur ginaekologikal

  1. Pemeriksaan fizikal

    • Ketinggian

    • Berat badan

    • Tekanan darah

  1. Ujian saringan rutin

    • Gula dalam darah

    • Jangkitan penyakit kelamin

    • Tahap haemoglobin

    • Ujian kencing

    • Kumpulan darah dan resus

    • Keputusan imej ultrasound

Informasi ini merupakan contoh-contoh yang terdapat dalam buku merah anda. Untuk informasi yang selanjutnya, sila ke klinik kesihatan ibu dan anak yang terdekat.

Risiko bagi awal kehamilan 

  • Peringkat kehamilan mempunyai tiga fasa kehamilan, iaitu trimester pertama, trimester kedua dan trimester ketiga.
  • Setiap kehamilan mempunyai risiko, risiko adalah tertinggi semasa awal kehamilan ataupun trimester kehamilan yang pertama (tiga bulan yang pertama).
  • Hal ini kerana trimester pertama merupakan masa kandungan anda sedang membentuk organ, ciri-ciri muka, tisu rangka dan anggota badan. Sesetengah masalah seperti keguguran, kehamilan ektopik dan kecacatan kelahiran boleh dikurangkan risikonya melalui perubahan gaya hidup.
  • Pasangan dan ibu mengandung perlu mengelakkan rokok dan minuman yang beralkohol yang mengandungi bahan yang boleh membahayakan kandungan anda.
  • Pengambilan asid folik sebelum kehamilan dan semasa trimester pertama dapat membantu mengurangkan risiko kecacatan kelahiran.
  • Terdapat dua lagi trimester kehamilan, iaitu trimester kedua dan ketiga. Untuk informasi yang selanjutnya tentang penjagaan awal kehamilan, sila berbincang dengan doktor anda.

Written by: Dr Nur Syuhada Binti Zulkifli

Degree in Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?