URTI

Apakah URTI Dan Cara Mengelakkan Jangkitan?

Baca Soalan

Pengenalan

URTI adalah kata singkatan bagi satu terma di dalam Bahasa Inggeris iaitu ‘upper respiratory tract infection’. Ia membawa maksud suatu jangkitan yang berlaku di laluan salur pernafasan atas. Bahagian tersebut adalah hidung, mulut, farinks dan larinks. Dalam erti kata lain, saluran yang membantu pengaliran udara sebelum sampai kepada trakea. Bagi masyarakat di negara ini, umum mengenali URTI sebagai demam selsema.

Penyebab URTI

URTI adalah disebabkan oleh jangkitan daripada virus ataupun bakteria. Bakteria boleh mengakibatkan demam selsema yang lebih berpanjangan dan serius daripada virus. Namun, secara amnya demam selsema yang dialami oleh kebanyakan orang adalah berasal daripada perbuatan virus dan akan sembuh dengan sendiri dalam masa kurang daripada sepuluh hari.

Kanak-kanak adalah lebih terdedah dengan risiko untuk mendapat demam selsema ini. Hal ini kerana sistem pertahanan badan mereka masih belum berkembang dengan sepenuhnya. Berbeza dengan orang dewasa, demam selsema yang berpanjangan adalah dijangka dan mereka memerlukan masa yang lebih lama untuk sembuh, dan terdapat sesetengah kes di mana rawatan di hospital adalah diperlukan.

Anda boleh mendapat URTI melalui orang sekeliling yang sudah dijangkiti kerana virus atau bakteria boleh bergerak dengan mudah di udara. Seterusnya ia boleh berkampung pada saluran pernafasan dan menjadi punca selsema.

Gejala URTI

Gejala ataupun simptom-simptom yang boleh dialami oleh individu yang terjejas boleh menjadi sangat tidak selesa walaupun tidak bersifat serius. Demam selsema dan batuk adalah antara gejala utama yang boleh tiba terutama bagi kanak-kanak. URTI bagi orang dewasa jarang sekali hadir bersama demam.

Berikut adalah simptom-simptom URTI yang lain:

1. Kerap bersin

2. Hidung tersumbat

3. Hidung berair atau keluar hingus

4. Sakit tekak bila menelan, lebih-lebih lagi pada peringkat awal jangkitan

5. Sesak dada

6. Sakit atau lenguh-lenguh badan

7. Sakit kepala atau berat kepala ketika kepala dibongkokkan

8. Tonsil bengkak di leher (URTI adalah punca tonsil bengkak yang paling biasa).

Rawatan URTI

Mahu hilangkan selsema dan hidung tersumbat yang sememangnya mengganggu aktiviti harian anda? Seperti yang telah dibincangkan, keadaan ini akan sembuh dengan sendiri. Beberapa ubat boleh membantu dalam meringakan gejala yang dialami seperti ubat demam dan ubat selsema yang boleh didapati dengan mudah di farmasi atau klinik-klinik berdekatan. Paracetamol dan ubat anti-histamin adalah antara contohnya. Penggunaan antibiotik untuk demam selsema adalah dilarang, melainkan punca jangkitan tersebut adalah bakteria.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan dimana anda dinasihatkan untuk segera ke hospital.

1. Demam panas yang melebihi 38 darjah Celcius yang diiringi masalah pernafasan, hilang selera makan dan badan yang menggigil.

2. Batuk dan sakit tekak berpanjangan (lebih daripada sepuluh hari).

3. Sakit dada ketika anda batuk atau mengeluarkan kahak yang berdarah.

4. Individu yang dijangkiti adalah seorang yang mempunyai asma atau COPD (lelah rokok/emfisema).

5. Berumur lebih daripada 70 tahun.

Bagi kanak-kanak pula, anda harus menghantar mereka ke hospital apabila terdapat situasi-situasi ini.

1. Tidak memberikan tindak balas atau menjadi keliru.

2. Mempunyai kesukaran bernafas yang ketara.

3. Tangisan yang sukar dipujuk.

4. Tidak makan dan minum.

5. Berumur kurang daripada empat bulan.

6. Simptom-simptom yang berlaku melebihi empat minggu.

Ketika masih dalam tempoh sakit juga, anda juga disarankan untuk mengambil makanan-makanan yang penuh berkhasiat bagi membantu memberikan tenaga selain daripada memastikan tubuh anda dibekalkan dengan nutrisi yang lengkap. Sup ayam, makanan berasaskan bawang putih, air kelapa, air teh panas, madu, halia, pisang dan sayur-sayuran hijau adalah antara diet yang telah terbukti berkesan dalam mengurangkan simptom yang sedang anda alami. Sup ayam, madu dan teh panas secara khususnya adalah pilihan para doktor bagi makanan untuk sakit tekak. Manakala halia pula boleh melegakan hidung tersumbat.

Walau bagaimanapun, rehat dan minum air dengan cukup adalah penting dalam proses pemulihan penyakit ini.

Komplikasi URTI

Adakah terdapat kemungkinan untuk seseorang yang mempunyai demam selsema untuk menghadapi masalah yang lebih besar dan serius? Bergantung kepada beberapa faktor, ya, URTI mampu memberi penyakit yang lebih serius.

  • Jangkitan pada paru-paru atau salur angin bawah, dikenali sebagai pneumonia dan bronchitis adalah penyakit yang paling ditakuti.
  • Selain itu, untuk pesakit asma, URTI boleh membuatkan simptom-simptom asma menjadi lebih teruk dan ketara sehingga perlu dirawat di dalam hospital.
  • Telinga juga boleh terjejas selain daripada keradangan di sinus.

Pencegahan URTI

Jangkitan virus atau bakteria boleh berlaku kepada anda dengan begitu cepat dan senang, lebih-lebih lagi sekiranya anda selalu meluangkan masa di tempat orang ramai. Namun, ia tidak bermaksud anda perlu untuk memencilkan dan mengasingkan diri daripada masyarakat hanya untuk mengelakkan dari mendapat URTI.

Terdapat banyak langkah pencegahan yang boleh diambil oleh anda untuk mengurangkan risiko jangkitan URTI, seperti:

1. Amalkan membasuh tangan dengan kerap menggunakan sabun setiap kali sebelum atau selepas bersentuhan dengan orang lain.

2. Memakai topeng mulut dan hidung jika terdapat penularan jangkitan di kawasan anda.

3. Elakkan daripada selalu menyentuh barang-barang yang kerap disentuh awam. Jika terpaksa, buat langkah 1 di atas.

4. Jauhi anak-anak anda daripada kanak-kanak lain yang sudah dijangkiti.

5. Sekiranya mampu, ambil suntikan vaksin untuk pelbagai virus di klinik-klinik swasta. Ia terbukti mampu mencegah jangkitan.

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?