Keputihan

Apakah penyakit Vulvitis dan rawatan sesuai?

Baca Soalan

Apakah itu vulvitis?

Vulvitis adalah radang vulva atau lebih dikenali sebagai bibir kemaluan bengkak.

Vulva ialah bahagian luar kelamin wanita yang terdiri daripada labia majora, labia minora, klitoris, dan introitus (pintu masuk ke faraj). Bahagian lipatan kulit ini sangat lembut. Oleh itu sebarang jangkitan, kecederaan atau alahan boleh menyebabkan keradangan. Hal ini menyebabkan kesukaran untuk mengenalpasti punca utama, diagnosis dan rawatan yang diperlukan oleh seorang pesakit.

Siapakah yang berisiko tinggi untuk mendapat vulvitis?

Gadis yang belum didatangi haid dan wanita yang sudah menopaus mempunyai risiko yang lebih tinggi kerana mereka cenderung mempunyai tahap estrogen yang lebih rendah.

Tambahan pula, wanita yang menghidap kencing manis juga lebih cenderung untuk mendapat radang vulva kerana kandungan gula dalam sel mereka.

Vulvitis juga membawa maksud seseorang menghidapi jangkitan penyakit kelamin atau jangkitan kulat di bahagian tersebut. Jikalau anda mengalami kecederaan atau radang pada vulva, segera berjumpa dengan doktor anda untuk mendapatkan rawatan.

Simptom-simptom vulvitis

Setiap orang mungkin mengalami gejala yang berbeza. Berikut adalah gejala yang selalunya dihadapi oleh pesakit. Antaranya ialah:

  • Kemerahan pada labia dan bahagian lain vulva

  • Bengkak atau benjolan di bibir kemaluan yang mungkin berisi cecair

  • Gatal-gatal pada bahagian vulva

  • Rasa membakar pada bahagian vulva dan sekitarnya

  • Luka pada vulva seperti lepuh

  • Tompok-tompok yang banyak, bersisik, tebal, atau putih pada vulva

  • Sakit semasa melakukan hubungan seks dengan pasangan

  • Deria rasa lebih sensitif semasa mengelap bahagian vulva dengan tisu

Gejala vulvitis mungkin kelihatan seperti simptom masalah perubatan lain. Sentiasa berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan diagnosis yang tepat.

Punca-punca vulvitis

Terdapat pelbagai penyebab vagina gatal dan bengkak.

Vulvitis mungkin disebabkan oleh satu atau lebih daripada yang berikut:

  • Alahan terhadap beberapa jenis produk- tisu tandas dengan minyak wangi atau pewarna, Sabun atau mandian berbuih dengan minyak wangi, syampu dan perapi rambut, sabun pencuci pakaian, krim atau sesetengah ubatan boleh menyebabkan iritasi pada vagina.

  • Tidak balas terhadap mandian berbuih, semburan, deodoran dan serbuk vagina

  • Penggunaan semburan membunuh sperma

  • Iritasi disebabkan jangkitan yis, air kolam renang, pakaian yang dibuat daripada bahan sintetik tanpa lapisan kain kapas

  • Pemakaian pakaian dalam yang basah untuk jangka masa yang lama

  • Aktiviti menunggang kuda

  • Penjagaan bahagian kelamin yang kurang memuaskan

  • Jangkitan seperti vaginitis, herpes, viral dan kulat

  • Faktor kesihatan yang lain seperti kencing manis, kurap atau kutu, ekzema.

Diagnosis vulvitis

Doktor yang anda temui akan mengambil sejarah perubatan lengkap dan memeriksa bahagian alat sulit anda. Doktor juga akan bertanya soalan lebih lanjut sekiranya terdapat cairan yang keluar daripada vagina serta rutin pembersihan bahagian kelamin anda. Keluarnya cairan daripada faraj bermakna mungkin berlakunya jangkitan.

Pemeriksaan bahagian kelamin perlu dilakukan di bawah nyalaan lampu yang terang. Seorang jururawat akan mengiringi doktor semasa pemeriksaan dijalankan. Doktor akan memeriksa sama ada terdapat kemerahan pada bahagian vulva serta perubahan pada kulit sekitarnya. Kawasan kulit lain juga perlu diperiksa untuk mengesan simptom ruam. Sebagai contoh, gejala dermatitis pada muka atau tangan.

Bukan itu sahaja, beberapa ujian lain mungkin akan dijalankan untuk mengesahkan diagnosis vulvitis seperti yang berikut:

  • Ujian darah

  • Ujian air kencing

  • Ujian untuk penyakit kelamin (STD)

  • Ujian Pap smear. Ujian ini melibatkan pemeriksaan sel-sel mikroskopik yang dikumpul daripada serviks. Ia digunakan untuk mengesan perubahan yang bersifat kanser atau boleh menyebabkan kanser. Ia juga menunjukkan keadaan lain, seperti jangkitan atau keradangan.

Cara merawat vulvitis

Rawatan khusus untuk vulvitis akan dibincangkan dengan doktor anda berdasarkan:

  • Umur anda, kesihatan keseluruhan, dan sejarah perubatan

  • Penyebab penyakit ini

  • Jenis dan keseriusan gejala

  • Toleransi anda untuk ubat, prosedur, atau terapi tertentu

  • Pendapat atau keutamaan anda

Rawatan boleh merangkumi:

  • Mengelakkan penggunaan sabun, losyen, mandian berbuih dan produk yang boleh memburukkan lagi keadaan radang vulva.

  • Elakkan menggaru kerana radang boleh menjadi teruk atau vulva boleh berdarah dan mendapat jangkitan baru.

  • Cuci bahagian vulva dengan air suam sekali sehari. Elakkan mencuci dengan kerap kerana boleh menyebabkan iritasi.

  • Mandian Sitz dengan sebatian menenangkan (untuk membantu mengawal gatal-gatal)

  • Aplikasi losyen Calamine pada bahagian luaran sahaja

  • Krim Hydrocortisone pada dos yang rendah boleh digunakan untuk mengawal alahan

  • Krim Estrogen boleh mengurangkan radang dan simptom yang ada pada wanita yang sudah menopaus.

  • Jikalau anda mempunyai jangkitan kulat, krim antikulat boleh digunakan

Sekiranya rawatan ini tidak meredakan simptom yang anda hadapi, ujian lanjut mungkin ditetapkan untuk mengenal pasti perkara yang lebih serius seperti kanser vulva. Namun demikian, kanser vulva sangat jarang berlaku dan biasanya melibatkan wanita yang sudah berusia lebih daripada 60 tahun.

Cara mencegah vulvitis:

Secara umumnya, pastikan kawasan vagina dan vulva anda bersih, kering, dan sejuk, terutamanya semasa haid dan selepas membuang air besar. Amalkan cara membersihkan kawasan vagina dan dubur yang betul, dan elakkan daripada menggosok dengan kain lap atau tuala.

Cara menghilangkan gatal pada kemaluan termasuk:

  • Memakai seluar yang diperbuat daripada kain kapas

  • Mengelakkan seluar yang terlalu ketat seperti pantyhose, atau apa-apa pakaian yang kasar di kawasan vulva atau yang tidak mempunyai peredaran udara yang mencukupi

  • Memilih tisu tandas dan produk feminin tanpa wangian yang boleh menjadi penyebab iritasi pada vagina

  • Menggunakan pencuci pakaian dan pelembut kain yang bebas daripada wangian

  • Menganti pakaian basah segera, seperti selepas berenang atau bersenam

  • Sentiasa gunakan kondom semasa aktiviti seksual untuk mengurangkan risiko vulvitis, STD, dan jangkitan vagina yang lain (melainkan jika anda mempunyai hubungan jangka panjang, monogami).

Komplikasi vulvitis

Kebiasaannya, kegatalan pada bahagian kemaluan dapat dilegakan dengan mudah. Meskipun begitu, terdapat golongan kecil yang akan mengalami komplikasi daripada menghidapi penyakit vulvitis. Antaranya ialah:

  • Kegatalan (pruritus) pada waktu malam boleh mengakibatkan gangguan ketika tidur dan menjejaskan kualiti hidup.

  • Kegagalan untuk mengesan punca vulvitis dan merawatnya pada peringkat awal boleh menyebabkan perkara yang lebih serius seperti barah vulva yang boleh membawa maut.

  • Sesetengah wanita mungkin mendapati bahawa kegatalan tersebut menjadi lebih buruk setelah menggunakan krim atau ubatan lain. Ini boleh membawa kepada kebimbangan dan boleh menyebabkan masalah psikoseksual.



Written by: Dr Nur Syuhada Binti Zulkifli

Degree in Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?