Kehamilan

Kes Polio Kembali. Kenali Pengertian, Penyebab, Gejala & Rawatan Penyakit Polio

Baca Soalan

Selepas 19 tahun Malaysia diisytiharkan sebagai negara bebas Polio dari World Health Organization (WHO), buat pertama kalinya satu kes telah dilaporkan berlaku di Tuaran, Sabah. Pesakit merupakan bayi lelaki yang berusia 3 bulan dan telah dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi setelah mengalami demam dan lemah anggota badan. Kini, bayi tersebut sedang menerima rawatan di wad yang berasingan dan keadaannya stabil walaupun perlu menggunakan sistem bantuan pernafasan. Bayi tersebut telah disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) pada 6 Disember 2019.

Apakah itu virus Polio?

Virus Polio merupakan virus dari keluarga Picornaviridae dan mempunyai 3 jenis poliovirus (1,2 dan 3). Ia boleh menyebabkan meningitis atau jangkitan dan keradangan pada selaput yang membaluti otak dan saraf (meninges) dan umumnya dikenali sebagai poliomielitis. Jangkitan Polio tidak semestinya dimanifestasikan kerana ia mempunyai pelbagai variasi simptom dari demam tanpa lumpuh kepada meningitis dan kepada lumpuh.

Bagaimana Polio tersebar?

Polio boleh menjangkiti dan tersebar dengan cara ‘feco-oral’ (makanan dan najis) dan ‘droplet’ (titisan air melalui pernafasan) samada dari batuk, bersin atau air liur. Jangkitan virus Polio boleh merebak apabila sesuatu makanan atau air tercemar dengan sisa najis seseorang yang dijangkiti. Risiko penyebaran meningkat apabila komuniti di sebuah kawasan yang terjebak tidak mengamalkan langkah-langkah kebersihan seperti tidak membasuh tangan, membuang air besar di tempat yang terbuka, menggunakan air yang tercemar seperti di sungai-sungai, makan makanan yang tercemar atau dihinggapi lalat, tidak memanaskan air sebelum minum dan tidak mendapatkan suntikan vaksin.

Apakah gejala yang dialami oleh pesakit yang dijangkiti Polio?

Ia merupakan virus yang merbahaya kerana ia mampu menyerang sistem saraf dan boleh mengakibatkan pelbagai masalah yang melibatkan otak dan sistem pernafasan. Antara gejala, simptom atau tanda awal yang mungkin dialami pesakit ialah demam, muntah, sakit tekak, hilang selera makan, kurang aktif dan sawan akibat dari jangkitan dan keradangan otak. Apabila virus ini menyerang sistem saraf, ia boleh mengakibatkan lumpuh dan pelbagai masalah lain seperti hilang rangsangan deria sentuh atau tindakan refleks, kekejangan atau kebas pada otot, dan kecacatan seumur hidup akibat daripada kehilangan fungsi anggota badan. Komplikasi paling teruk yang boleh dialami pesakit ialah apabila ia menjejaskan saraf yang mengawal sistem pernafasan. Kelumpuhan pada otot pernafasan akan mengakibatkan pesakit untuk tidak mampu bernafas sekaligus menyebabkan kematian.

Bagaimana mendiagnos Polio?

Doktor mengesan Polio melalui tanda-tanda dan gejala yang dialami pesakit secara klinikal dan mengesahkan jangkitan Polio dengan cara mengambil sampel dari kahak, najis atau cecair dari selaput saraf tunjang dan dihantar ke makmal untuk tujuan pengesahan.

Apakah rawatan penyakit Polio?

Penyakit Polio tidak mempunyai ubat dan rawatan. Namun, ianya boleh dicegah melalui program imunisasi dan vaksin. Pesakit yang dijangkiti Polio akan dirawat secara simptomatik dan akan diberikan bantuan terapi fizikal, ubat tahan sakit dan nasihat pemakanan atau diet yang bernutrisi.

Bagaimana vaksin & program imunisasi boleh mencegah Polio?

Terdapat 2 jenis vaksin yang boleh didapati di Malaysia iaitu ‘Inactivated Polio Vaccine’ (IPV) dan ‘Oral Polio Vaccine’ (OPV). Apabila vaksin diberikan, badan akan mengenali dan mengiktiraf keberadaan virus di dalam badan. Hal ini akan meningkatkan imuniti badan terutamanya imuniti terhadap virus Polio. Maka, jangkitan Polio dapat dielakkan terhadap mereka yang sudah mengambil vaksin. 

IPV merupakan vaksin yang mempunyai virus Polio yang tidak aktif dan OPV adalah vaksin yang mempunyai virus Polio yang telah dilemahkan. Kedua-dua jenis vaksin mempunyai potensi pencegahan yang sama tetapi mereka yang menerima vaksin OPV boleh meninggalkan virus melalui najis dan ianya boleh menjangkiti orang lain terutamanya terhadap mereka yang tidak menerima vaksin. Di kawasan yang mempunyai kadar imunisasi vaksin yang rendah, virus dari OPV boleh mengalami perubahan menjadi virus polio yang liar ‘wild poliovirus’ (WPV) atau dikenali sebagai ‘vaccine-derived polioviruses’ (VDPV) dan boleh mengakibatkan penyakit Polio untuk terjadi.

Di Malaysia, IPV diberikan kepada bayi sebanyak 4 kali iaitu 3 dos ketika bayi berumur 2, 3, dan 5 bulan serta 1 dos tambahan (booster) ketika berusia 18 bulan melalui suntikan pada otot. Ianya diberikan sekaligus bersama vaksin Diphteria, Tetatus, Acellular Pertussis dan Hemophilus Influenza B.

Tujuan program imunisasi dan vaksin dijalankan adalah untuk mendapatkan ‘herd immunity’. ‘Herd immunity’ ialah perlindungan terhadap penyebaran wabak penyakit berjangkit dalam sebuah komuniti yang hanya boleh dicapai jika terdapat ramai yang mempunyai perlindungan terhadap penyakit tersebut terutamanya melalui program vaksin. Jika semakin ramai yang mengambil vaksin, maka semakin ramai yang akan mendapat perlindungan dari penyakit tersebut dan semakin rendah kadar penyebaran penyakit berkenaan.

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?